mutakhir

Kodek bebas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Seorang lelaki dikenali Kodek atau nama sebenarnya Mohammad Fareez Hasim, 24, dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam sementara menunggu siasatan kes itu selesai.

Pengarah SPRM) Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, lelaki berasal dari Felda Jengka 6, Bandar Jengka, Pahang dipercayai sudah lama menetap di Selangor, dibebaskan selepas memberi kerjasama baik ketika disoal siasat.

Menurutnya, peniaga ayam goreng itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sementara menunggu siasatan kes itu selesai untuk pendakwaan di mahkamah nanti.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lagi ‘orang kanan’ rangkaian sindiket kereta klon berjaya dicekup dan suspek ketujuh yang ditahan itu cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik perniagaan ayam goreng.

Lelaki itu ditahan jam 10 malam Selasa lalu di Bangi, Selangor dan amat dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes kereta klon.

Sumber SPRM berkata, hasil soal siasat terhadap seorang pembantu penguat kuasa dan pembantu tadbir perkeranian dan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang ditahan pada 22 September lalu mendapati Kodek antara dalang utama sindiket kereta klon berkenaan.

Menurutnya, lelaki itu bertanggungjawab membekalkan dokumen tulen termasuk geran kenderaan kepada pembeli kenderaan tempatan.

Sumber itu berkata, hasil kerjasama Kodek bersama pasangan suami isteri termasuk seorang pembantu tadbir di bahagian pendaftaran kenderaan JPJ Kedah selain empat suspek lain membolehkan sindiket itu menjual kira-kira 100 kenderaan lupus dari Singapura kepada orang awam dengan dakwaan ia sudah dilucut hak oleh kerajaan.

Disiarkan pada: October 15, 2016 @ 10:16am
d