mutakhir

Kagum semangat malaysia

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: “Mereka (aktivis kemanusiaan dunia) mengakui kagum dengan kita (Malaysia) dan turut menawarkan supaya mengetuai misi seumpama itu pada masa depan,” kata Dr Fauziah Mohd Hasan, 59.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) itu antara 13 aktivis misi Women’s Boat to Gaza (WBG) yang ditawan rejim Zionis pada hari kelapan pelayaran ke Gaza, 6 Oktober lalu.

Selepas dipenjara hampir 30 jam dan dipaksa menandatangani dokumen sebagai pengakuan menceroboh Israel, beliau dibebaskan bersama aktivis wanita lain yang menyertai misi pelayaran kemanusiaan sebagai simbolik penentangan ke atas kepungan haram terhadap Gaza sejak 2007.

Menurut Fauziah, beliau terharu dengan tawaran mengetuai misi kemanusiaan lain dan perkara itu antara agenda yang akan dibentangkan pada mesyuarat Lembaga MyCARE, hari ini.

“Pelaksanaan misi berskala besar seumpama itu bukan mudah kerana membabitkan kos tinggi terutama pembelian kapal mencecah ratusan ribu ringgit. Kita juga masih memerlukan bantuan daripada Freedom Flotilla Coalition (FFC).

“Berikutan itu, ia perlu penelitian secara menyeluruh dan persetujuan penuh daripada MyCARE. Namun, kami masih tetap dengan pendirian untuk terus memperjuangkan misi membebaskan Gaza daripada kepungan Israel,” katanya ditemui pada Perhimpunan Tahunan Pertubuhan IKRAM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dan Pengurus Khidmat Sokongan Hospital Pakar An-Nur Hasanah Sdn Bhd Norsham Abu Bakar yang turut terpilih menyertai misi WBG itu.

Kapal Zaytouna-Oliva yang membawa semua aktivis kemanusiaan wanita pelbagai latar belakang dari 12 negara berlepas dari Barcelona, Sepanyol, 21 hari sebelum insiden itu berlaku.

Ia dilaporkan terputus hubungan, kurang 50 batu nautika dari Gaza dan ditawan ketika melepasi garisan 100 batu nautika ke arah pantai Gaza. Pada kedudukan itu, kapal berkenaan sebenarnya secara teknikal sudah memasuki garisan perairan yang dikawal ketat rejim Israel.

Fauziah berkata, misi itu dianggap berjaya kerana Malaysia menerima pujian terutama membabitkan usaha jitu dan persiapan lengkap untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Sebagai contoh, mereka kagum melihat semua kelengkapan yang dibawa MyCARE terutama pakaian, makanan dan teknologi seperti kamera GoPro serta telefon satelit.

“Berikutan itu, selain memuji usaha dan semangat kita (Malaysia) untuk berjuang demi Palestin, mereka mahu kita mengetuai misi kemanusiaan lain,” katanya memaklumkan misi seterusnya dijangka dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.

Menurutnya, beliau turut berhasrat menjemput beberapa individu penting yang terbabit dalam misi WBG datang ke negara ini untuk memberi latihan dan berkongsi pengalaman dengan masyarakat.

“Kita bercadang untuk memanggil ketua delegasi misi itu, Ann Wright dan nakhoda kapal, Madeline Habib selain beberapa individu lain. Namun, ia masih dalam peringkat cadangan.

“Selain itu, saya dan semua yang terbabit dalam WBG akan berkumpul semula dalam satu majlis pertemuan di Stockholm, Sweden pada 15 Mei tahun depan,” katanya.

Katanya, beliau juga akan menjelajah ke seluruh negara untuk menyampaikan mesej keamanan dan kesedaran kepada masyarakat supaya bersatu dalam membantu rakyat Palestin.

Disiarkan pada: October 16, 2016 @ 5:14am
d