mutakhir

Rejim Myanmar perlu diheret ke ICC

Putrajaya: Kenyataan bersifat perkataan bagi mengutuk perbuatan rejim Myanmar semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya mereka perlu diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk disiasat, seterusnya didakwa di atas penindasan yang dilakukan terhadap kepada komuniti Islam Rohingya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd Amin berkata, hanya tindakan undang-undang antarabangsa boleh digunakan untuk menekan rejim ini supaya bertanggungjawab dan berdepan hukuman ke atas kekejaman mereka.

Justeru, katanya, mereka mendesak pihak berkepentingan antarabangsa bertindak kerana diskriminasi dan penindasan terhadap minoriti Islam Rohingya sudah berlaku sekian lama sehingga kini, tanpa sebarang sekatan.

“Di bawah Perkara 5, Statut Rom terdapat empat jenayah antarabangsa yang diiktiraf berada di bawah bidang kuasa ICC, iaitu genosid (penghapusan etnik, bangsa atau kaum secara sengaja), jenayah kemanusiaan, perang dan pencerobohan.

“Kami percaya tindak tanduk rejim Myanmar terhadap etnik Rohingya termasuk di bawah jenayah genosid dan kemanusian, jadi ICC mempunyai kuasa membicarakan jenayah itu,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Turut hadir ialah Felo Kanan CENTHRA Abdullah Abdul Hamid dan Koordinator Program Jawatankuasa Pelarian Arakan Rohingya Mohammad Sadek.

Disiarkan pada: October 18, 2016 @ 5:36am
d