mutakhir

Tiada perjanjian dengan AS

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menegaskan tiada sebarang perjanjian dengan mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Australia berhubung isu Laut China Selatan.

Sebaliknya tegas Perdana Menteri, kerajaan sentiasa menjadikan kepentingan negara sebagai asas utama dalam setiap tindakan diambil berkaitan masalah pertindihan kawasan maritim itu.

“Kerajaan sentiasa memberikan perhatian khusus kepada isu Laut China Selatan kerana itu rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan bagi memastikan kepentingan serta keselamatan negara sentiasa dipelihara.

“Selain itu, usaha diplomasi di peringkat bilateral (dua hala) dan serantau serta antarabangsa khususnya di bawah kerangka ASEAN terus dilaksana selain dipertingkatkan,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin) yang mahu tahu tindakan Malaysia terhadap kependudukan China di Kepulauan Spratly dalam isu perebutan Laut China Selatan dan adakah wujud perjanjian dengan AS dan Australia dalam hal terbabit.

Sementara itu, berkaitan kependudukan serta aktiviti penambakan dan pembinaan oleh China, Najib berkata, ia tidak membabitkan kawasan maritim negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbezaan pendapat dengan China dalam isu berkenaan tidak menjadi penghalang kepada hubungan ekonomi dan perniagaan sejak tahun 1974.

“China adalah negara sahabat dan strategik Malaysia. Negara itu juga rakan dagang terbesar Malaysia serta pelaburan dan pelancongan yang sangat penting selain terus meningkat,” katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2016 @ 6:56am
d