mutakhir

Inspirasi dua beradik miskin

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Bermula dengan pertemuan biasa sekumpulan bekas pelajar sekolah menengah, ia kemudian membentuk sebuah persatuan yang memberi sumbangan kepada masyarakat dari aspek pendidikan terhadap pelajar miskin.

Berteraskan visi ‘sharing is caring’, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (Rendah dan Menengah) Besut, Terengganu (TMESA) sentiasa komited dalam usaha untuk meneruskan program bantuan dijalankan iaitu ‘Sponsor-a-Student’ (SAS) yang kini sudah mencecah RM1.2 juta tajaan sejak 12 tahun dilaksanakan.

Menurut Presiden TMESA Mohamed Jusoh, pelaksanaan program itu dibuat selepas pihaknya dimaklumkan mengenai kisah menyayat hati dua beradik yang terpaksa hadir ke sekolah bergilir-gilir kerana berkongsi pakaian seragam.

“Kisah dua beradik ini menjadi inspirasi kepada kami untuk mewujudkan program itu yang dilancarkan 4 Mac 2005 dengan menaja 70 pelajar sekolah menengah miskin di daerah Besut.

“Malah, program ini semakin berkembang hingga ke daerah Setiu dan Hulu Terengganu dengan jumlah penerima biasiswa lebih 850 peserta membabitkan 20 sekolah di tiga daerah berkenaan sehingga kini.

“Setiap pelajar menerima tajaan bernilai RM1,500 bagi tempoh dua tahun oleh seorang penaja yang kebanyakannya membabitkan ahli persatuan ini yang dianggotai 543 ahli dalam usaha memastikan program ini dijalankan secara konsisten,” katanya ketika ditemui Harian Metro di restoran miliknya, Restoran Puteri Penchala, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Setiap tahun, TMESA akan mengadakan temu duga bagi memilih 70 pelajar sekolah menengah yang miskin tegar bagi membantu mereka mengejar cita-cita masing-masing dan melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Mohamed berkata, selain tajaan dalam bentuk pakaian seragam, yuran sekolah, kos pengangkutan dan buku, pihaknya turut mengadakan aktiviti tahunan bagi penerima bantuan itu meningkatkan motivasi dan keyakinan pelajar untuk menempuhi cabaran dunia luar.

“Semua pelajar ini berasal dari kawasan pedalaman dan kampung yang mempunyai latar belakang keluarga seperti nelayan, petani dan penoreh getah menyebabkan kebanyakan mereka tidak pernah keluar dari kampung halaman.

“Justeru, kami mengambil inisiatif untuk mengadakan aktiviti tahunan pada setiap cuti hujung tahun di Kuala Lumpur untuk membuat lawatan di lokasi mercu tanda seperti Petrosains di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan universiti awam bagi membuka minda mereka,” katanya.

Sementara itu, Penasihat TMESA Datuk Mohd Nawawi Ismail mengakui, beliau menghargai komitmen ahli persatuan berkenaan yang sentiasa memberikan kerjasama dalam memberikan dana, sekali gus memastikan kelangsungan program itu dijalankan sehingga kini.

“Ahli kami terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, ahli perniagaan, doktor dan lain-lain yang sentiasa komited dalam usaha membantu menghulurkan dana di mana 70 peratus penaja adalah dalam kalangan ahli persatuan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut membuka peluang kepada masyarakat luar yang mahu bersama-sama menghulurkan bantuan kepada pelajar miskin melalui program SAS dengan pembabitan mereka dalam beberapa aktiviti diadakan persatuan berkenaan.

“Terdapat beberapa program dianjurkan kami untuk mengutip dana dalam program ini seperti Majlis Makan Malam Amal, Pertandingan Golf Amal dan Program Minum Petang Amal yang diadakan hampir setiap tahun.

“TMESA mengalu-alukan sumbangan dana dari pihak luar sama ada badan korporat, syarikat swasta mahupun individu yang berminat untuk menjayakan program SAS secara berterusan bagi tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2016 @ 7:33am
d