mutakhir

5 dewan dibuka

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Klang: Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan bencana terus mencatatkan peningkatan kepada 497 orang daripada 119 keluarga di dua daerah di negeri ini.

Sehingga malam tadi, lima dewan masih dibuka kepada mangsa membabitkan daerah Klang dan Sabak Bernam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, kawasan Kapar masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 236 mangsa di Dewan Kampung Tok Muda dan 167 mangsa di Dewan Dato Ahmad Razali, Batu 5.

“Selain itu, tiga pusat pemindahan di Sabak Bernam masih dibuka masing-masing di Dewan Sungai Air Tawar, Dewan Parit Baru dan Dewan Seri Sekinchan.

“Ia membabitkan 94 mangsa daripada 23 keluarga yang berpindah bagi bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar,” katanya.

Menurutnya, satu mesyuarat khas berhubung tindakan susulan diadakan Jawatankuasa Unit Bencana daerah terutama perbincangan mengenai tempoh operasi pusat pemindahan itu.

“Jika fenomena ini masih berlarutan di Selangor, pusat itu akan terus dibuka kepada penduduk atau mangsa.

“Keputusan itu bergantung kepada hasil mesyuarat nanti,” katanya.

Mohd Sani berkata, pihaknya dan agensi penyelamat lain akan terus bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dengan menjalankan pemantauan menyeluruh di lokasi yang diramal terjejas akibat fenomena itu.

Disiarkan pada: October 19, 2016 @ 7:25am
d