mutakhir

Tiada pilihan raya berasingan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kulai: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada pilihan raya secara berasingan diadakan di Johor sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 meskipun isu berhubung perkara itu dibangkitkan parti pembangkang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara itu sudah diperjelaskan sendiri oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled.

“Ada lontaran pandangan, Johor akan mengadakan pilihan raya secara berasingan. Penjelasan Menteri Besar Johor jelas satu keputusan amat sesuai dengan tujuan penyelarasan PRU bagi seluruh Semenanjung dan Sabah,” katanya.

Katanya, dalam cadangan itu pentadbiran Suruhanjaya Pilihan Raya tidak akan menggunakan peruntukan di luar jangkaan jika pilihan raya negeri dibuat negeri terbabit.

“Tentunya Penang (Pulau Pinang) umpamanya menyarankan pilihan raya negeri dilakukan.

“Saya fikir Johor sebagaimana negeri lain cuma menilai bahawa sesuatu gerak kerja dalam menentukan kesinambungan kepemimpinan melalui kerajaan negeri sedia ada yang berfokus kepada kerajaan BN,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid melancarkan tiga inisiatif bagi Pembangunan Hab Kemahiran Johor Bandar Akademik Johor membabitkan perasmian Kampus Induk Kolej Yayasan Johor (KYPJ), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan Skills Johor di Dewan Besar KYPJ, semalam.

Hadir sama Mohamed Khaled, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Mohamad Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim.

Ahmad Zahid berkata, program tiga dalam satu itu dilaksanakan kerajaan negeri sebagai usaha memperkasakan Johor ke arah negeri maju dalam ekonomi.

Katanya, hab pendidikan kemahiran dibangunkan itu menyaingi pelbagai institusi diwujudkan di bawah kementerian dan harus dibanggakan.

“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai rizab pelaburan banyak, maka layak kerajaan negeri menyediakan kemudahan seperti itu tanpa bantuan kerajaan pusat,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2016 @ 7:59am
d