mutakhir

Terjaga hingga pagi

Alor Gajah: Ombak besar yang membadai benteng penahan ketika air pasang besar di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, kelmarin menyebabkan sebuah keluarga tidak dapat tidur hingga ke pagi.

Habibah Hussin, 56, berkata, bermula jam 10 malam, dia bersama anak, Mohd Fazli Muslim, 32, menantu dan seorang cucunya berusia tujuh tahun cemas berikutan ombak besar berserta angin kencang melanda kawasan pesisir pantai itu.

Katanya, air pasang besar dan angin kencang menghasilkan ombak besar hingga menyebabkan rumahnya yang terletak hanya dua meter dari benteng penahan hampir dibanjiri air laut.

“Kami terpaksa berjaga sehingga jam 5.30 pagi sebelum ombak besar reda. Selama lebih tujuh jam berjaga, kami berdoa kepada Allah supaya dijauhi daripada sebarang malapetaka kerana kawasan ini pernah terjejas teruk akibat fenomena air pasang besar lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, rumahnya berada paling hampir dengan pantai manakala beberapa lagi kediaman terletak kira-kira 10 meter daripada benteng penahan ombak berkenaan.

Disiarkan pada: October 19, 2016 @ 8:14am
d