mutakhir

Detik cemas dibadai ribut [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Enam beranak termasuk seorang wanita orang kurang upaya (OKU) menempuh detik cemas selepas kediaman mereka dilanda ribut kencang awal pagi semalam.

Dalam kejadian di Batu 6, Kampung Lereh, Tanjung Keling, di sini, 12.15 tengah malam, rumah Othman Hasim, 68, dibadai ribut yang menyebabkan bumbungnya tercabut.

Katanya ketika kejadian dia berada di dalam bangsal di luar rumah kerana menonton laporan berita di televisyen, isterinya Aisah Daud, 62, dan anak lelaki Saiful Nizam Othman, 36, berada di dalam rumah.

Manakala anak perempuan Norazlina Othman, 32, menantunya Mohd Sufre Jaamat, 33, dan cucunya Noraisyah Mohd Sufre, 8, tidur di dalam sebuah lagi rumah terletak bersebelahan.

“Bermula dengan kilat diikuti hujan, saya kemudian matikan suis televisyen kerana mahu masuk rumah. Ketika itulah tiba-tiba berlaku hujan lebat dengan titisan kasar serentak dentuman kuat membuatkan saya takut.

“Ketika itu juga saya dengar suara isteri menjerit di dalam rumah kerana dia dibasahi air. Saya, segera ambil periuk besar di dapur dan menadah bahagian atap bocor, tapi alangkah terkejutnya saya apabila menyedari seluruh rumah basah akibat bumbung diterbangkan ribut.

“Saya bawa isteri keluar untuk berlindung di bangsal. Ketika itu kami berteriak memanggil anak, menantu dan cucu keluar daripada rumah kerana risau perkara buruk menimpa mereka.

“Selepas semua ahli keluarga keluar kami masuk ke dalam kereta dan menuju ke sebuah warung di tepi jalan berhampiran untuk berlindung di situ sementara menunggu ribut reda,” katanya.

Sementara itu, Aisah yang juga pemegang kad OKU berkata, ketakutan dialami ketika itu tidak dapat digambarkan, apa lagi apabila suaminya menjerit-jerit meminta dua anak mereka, menantu dan cucu segera keluar dari rumah, kerana bimbang berlaku litar pintas.

“Saya OKU, sangat tidak larat untuk bangun ketika itu, tapi suami heret saya yang terbaring di atas katil menuju ke bangsal, syukur dia bertindak pantas kerana keadaan ketika itu amat cemas dan menakutkan,” katanya.

Manakala Norazlina berkata, sebelum kejadian dia mendengar jeritan bapanya dan pada mulanya menyangka Othman ketika itu mengalami sawan tanpa menyedari rumah didiami dilanda ribut.

“Walaupun rumah kami bersambung, tidak ada pintu menghubungkan kedua-dua ruang itu, jadi selepas dengar jeritan ayah saya buka tingkap lalu dia arahkan saya segera keluar kerana khuatir berlaku kebakaran akibat litar pintas.

“Saya sekarang sedang hamil anak kedua dan kandungan kini berusia enam bulan. Dua hari lalu saya ditahan di wad Hospital Melaka kerana darah tinggi, selepas dibenarkan pulang, saya tertidur kerana berasa amat penat hinggakan tidak sedar ribut melanda.

“Sekarang kami tidak tahu ke mana mahu pergi. Dalam keadaan sekarang saya amat perlukan rehat. Ribut semalam yang paling teruk sepanjang 36 tahun keluarga menetap di kampung ini,” katanya.

Menurutnya, dua tahun lalu rumahnya pernah dibadai ribut angin laut namun hanya menerbangkan dua atap, tapi angin darat ini mengangkat sebahagian atap rumahnya.

Difahamkan, sejak ribut itu, keluarga terbabit tidak dapat tidur kerana tiada tempat berteduh, selain enggan kembali ke rumah kerana bimbang berlaku litar pintas.

Disiarkan pada: October 20, 2016 @ 5:32am
d