mutakhir

Suasana pilu jeti JKDM

Kangar: Suasana pilu menyelubungi jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Perlis, apabila mayat remaja lelaki yang ditemui pasukan Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tidak jauh dari perairan Kuala Sanglang, di sini, disahkan Abdul Shakair Abd Rahman, 18, yang lemas selepas bot dinaikinya bersama seorang rakan terbalik akibat dipukul ombak kelmarin.

Pengecaman itu dilakukan ibu mangsa, Sharifah Mat Arus, 58, dan abangnya, Mohd Shahir Abd Rahman, 21, yang turut hadir ke jeti berkenaan jam 11.50 pagi semalam selepas mayat mangsa ditemui terapung oleh peronda APMM dari Kedah jam 10 pagi.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa pernah menyatakan hasrat untuk turun ke laut selepas sekian lama menjaga bapanya, Abd Rahman Ismail, 73, yang baru selesai menjalani pembedahan jantung.

“Arwah sudah lama tidak turun ke laut kerana menjaga bapanya yang mengalami masalah jantung dan baru selesai pembedahan.

“Selepas bapanya dilihat semakin pulih, dia pernah menyatakan hasrat untuk turun ke laut bersama-sama rakan bagi menangkap udang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dan menerima kenyataan Abdul Shakair sudah tiada.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mayat mangsa ditemui peronda APMM selepas hampir 30 jam dilaporkan hilang di laut dan dibawa ke jeti JKDM Kuala Perlis sebelum disahkan identiti oleh keluarganya.

“Mayat mangsa ditemui pasukan APMM Kedah terapung secara terlentang kira-kira satu batu nautika dari Kuala Sanglang dan kira-kira lima batu nautika ke selatan pantai Kampung Padang Keria lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HTF untuk dibedah siasat,” katanya.

Wari berkata, keseluruhan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk tempatan termasuk nelayan di kawasan berdekatan, selain pencarian menggunakan khidmat Unit Udara PDRM dan juga alatan drone sejak semalam.

Disiarkan pada: October 20, 2016 @ 5:42am
d