mutakhir

Tiada orang luar berjaya masuk

Gua Musang: Tiada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun dermawan berjaya memasuki kawasan Hutan Simpan Balah di sini, bersama permit masuk sejak sekatan dibuat Jabatan Perhutanan Kelantan lebih seminggu lalu.

Malah, kawasan itu yang merujuk kepada pos pemeriksaan pihak berkuasa lebih kerap dilalui penduduk Orang Asli dan peniaga yang menjual barang keperluan kepada komuniti berkenaan.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan itu kelmarin mendapati lebih 15 penduduk Orang Asli berulang-alik melalui sekatan terletak dalam jarak dua kilometer dari Pos Tohoi dalam sehari.

Difahamkan, penduduk Orang Asli tidak memerlukan permit memandangkan mereka penduduk asal penempatan manakala lima hingga enam anggota penguat kuasa ditugaskan berkawal untuk sembilan jam sehari bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang yang akan memeriksa semua kenderaan terutama yang mencurigakan.

Seorang anggota penguat kuasa yang ditemui berkata, mereka menjalankan tugas mengawal pihak luar yang cuba membuat onar, bukan menghalang atau mengganggu penduduk Orang Asli.

“Setakat ini tiada pihak luar (NGO atau dermawan) masuk bersama permit.

“Lagipun ini bukanlah sekatan, sebaliknya lebih kepada pos pemeriksaan untuk mengawal pergerakan keluar masuk di Hutan Simpan Balah.

“Sebelum ini kami buat rondaan, tapi sejak kekecohan dicetuskan penduduk Orang Asli lebih tiga minggu lalu, kita perlu ambil tindakan lain,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2016 @ 5:49am
d