mutakhir

Ops Taring pukul keliling

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Satu rangkaian mengiklankan jualan spesies hidupan liar terancam secara haram melalui media sosial Facebook (FB) berjaya dipatahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas risikan selama tiga bulan oleh jabatan itu.

Kegiatan rangkaian itu dipercayai dilakukan lebih setahun lalu dipatahkan menerusi Ops Taring kali ke empat di lima lokasi iaitu di Hulu Langat, Selangor, Wakaf Che Yeh, Kelantan serta Kupang, Kedah, kelmarin.

Hasil serbuan itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, 32 hidupan terancam daripada 19 spesies dirampas dengan nilai rampasan kira-kira RM500,000.

“Susulan itu, lima individu termasuk seorang wanita ditahan serta disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan hukuman denda tertinggi boleh dikenakan membabitkan pemilikan anak harimau belang mengikut Seksyen 69(2).

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM150,000 dan tidak lebih RM500,000 dan dengan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN, Abdul Kadir Abu Hashim dan Timbalan Ketua Pengarah 2 (Operasi) Jabatan PERHILITAN, Hasnan Yusop.

Antara haiwan yang dirampas ialah anak harimau belang, tupai kerawak, burung lang merah, pelanduk, burung hantu, binturong dan tupai gading manakala, rampasan dibuat di premis kediaman dan kedai haiwan.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, Jabatan PERHILITAN turut menahan seorang lelaki warga India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 9 malam semalam disyaki menyeludup bahagian hidupan liar dipercayai harimau belang yang diletakkan dalam enam bungkusan plastik.

“Lelaki itu ditahan di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), KLIA dan kini masih ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 71 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu mengimport dan sebagainya hidupan liar dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas,” katanya.

Beliau berkata, jika disabitkan, denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 dan dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, keenam-enam individu yang ditahan dalam semua kes berkenaan berusia antara 38 hingga 50 tahun.

Malah, katanya, beliau bercadang untuk memperuntukkan hukuman penjara bagi mereka yang ditahan berkaitan haiwan terancam itu.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata, anak harimau belang yang dirampas itu akan dibawa ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak.

“Berdasarkan harga, anak harimau ini dijual antara RM120,000 hingga RM200,000,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2016 @ 9:57am
d