mutakhir

Sertai larian menang Persona

Putrajaya: “Saya tidak sangka berjaya membawa pulang sebuah Proton Pesona selepas menyertai larian 21 Kilometer (km) sempena Hari Sukan Negara (HSN) yang berlangsung baru-baru ini sebagai tanda sokongan.

“Tujuan saya menyertai larian ini untuk menggalakkan rakan sekerja berlari bersama bagi mengajak mereka mengamalkan gaya hidup sihat,” kata pemenang cabutan bertuah Larian HSN21km, Lee Keng Seng, 37.

Dia yang bekerja sebagai Pengurus Perniagaan di Damansara, Selangor berkata, dia sering menyertai larian namun tidak pernah memenangi sebarang cabutan bertuah.

“Larian kali ini adalah tuah kepada diri saya dan lebih menggembirakan apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sendiri yang menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah #HSNChallengeYourself dan Cabutan Bertuah HSN21km yang disampaikan Khairy di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan dan Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim Ali.

Pada majlis itu, Khairy turut menyampaikan hadiah kepada pemenang #HSNChallengeYourself bagi dua kategori iaitu Penurunan Berat Badan dan Transformasi Badan, masing-masing membawa pulang RM5,000 dan Kamera Garmin Virb.

Bagi kategori Penurunan Berat Badan dimenangi Mohd Rabbani Mohd Baharin dan Nor Fadzleen Sa’don manakala Transformasi Badan dimenangi Ezzat Afiq Md Zubir Ansori dan Che Wan Normahiza Che Wan Omar.

Sementara itu, Khairy berkata, penganjuran HSN buat kali kedua itu menghasilkan kejayaan luar biasa apabila berjaya menarik 7,658,899 peserta membabitkan 26,323 program di seluruh negara.

“Rekod ini berdasarkan laporan daripada setiap negeri dan berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak enam juta penyertaan, malah turut mendapat sambutan masyarakat Malaysia yang berada di luar negara.

“Jumlah ini juga mampu meningkat pada penganjuran HSN tahun depan yang mampu merangsang masyarakat untuk terus bersukan, sekali gus mencipta gelombang negara bersukan,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2016 @ 10:00am
d