mutakhir

Satu pusat pemindahan masih beroperasi

Shah Alam: Seramai 167 penduduk daripada 43 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan bencana di Dewan Dato Ahmad Razali, Batu 5, Kapar, semalam.

Ia berikutan kejadian ban pecah di kawasan itu masih berlaku dan menenggelamkan rumah penduduk terutama di Kampung Sri Keramat sehingga ke paras pinggang sebelum surut tidak lama kemudian.

Jurucakap bomba negeri berkata, bagi negeri ini, hanya satu pusat pemindahan masih beroperasi iaitu membabitkan daerah Klang sejak Ahad lalu.

“Selain lelaki dan wanita dewasa, jumlah merangkumi 58 kanak-kanak dan lima bayi (berusia dua tahun ke bawah) yang berpindah ke dewan berkenaan sejak lima hari lalu.

“Ia mencatatkan sedikit peningkatan setiap hari berikutan kejadian ban pecah di sekitar kawasan Batu 5 Kapar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, walaupun tiada mangsa, empat pusat pemindahan di daerah Sabak Bernam masih berstatus aktif atau bersiap sedia.

“Ia membabitkan Dewan Sungai Air Tawar, Dewan Parit Baru, Dewan Seri Sekinchan dan Dewan Sri Bernam, Sungai Besar,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2016 @ 10:07am
d