mutakhir

Perluas guna bahasa Melayu

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Golongan elit termasuk pemimpin korporat perlu memainkan peranan dalam memperkasa penggunaan bahasa Melayu menerusi penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan yang disambut setiap tahun pada Oktober.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi memastikan pelaksanaan itu dizahirkan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjalin kerjasama dalam penganjuran program sesuai dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.

“Secara kebiasaannya, DBP yang menjadi urusetia dalam menguruskan pelbagai program untuk tempoh dua bulan termasuk di peringkat negeri, daerah dan sekolah, malah penganjurannya juga ada membabitkan syarikat swasta, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Justeru, adalah lebih baik jika penganjuran ini turut membabitkan badan korporat dan syarikat swasta yang sekali gus boleh membantu dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan,” katanya pada sidang media pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2016, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas.

Pada majlis berkenaan, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim turut menerima Anugerah Bulan Kebangsaan sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha beliau memperjuangkan martabat bahasa Melayu.

Selain itu, 1Bangsa, 1Jiwa, 1Bangsa turut dipilih sebagai tema pada tahun ini dalam usaha mempertingkat kesedaran mengenai kepentingan bahasa dalam pembangunan tamadun bangsa selain disesuaikan daripada slogan DBP iaitu Bahasa Jiwa Bangsa yang dicipta pada 1952.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bertitah, banyak kawasan perumahan, taman, gedung niaga dan pusat pelancongan dinamakan dengan bahasa Inggeris menerusi kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus dipandang serius.

Disiarkan pada: October 21, 2016 @ 10:45am
d