mutakhir

Gemalai makhluk halus

Oleh Sandra Albertz

Serian: Tarian tradisional sememangnya memiliki keistimewaan tersendiri bermula daripada rentak, lenggok dan gaya si penari yang pasti membuatkan penonton memperoleh kepuasan sukar dimengertikan.

Begitu juga uniknya tarian ketopeng yang menjadi kebanggaan masyarakat Bidayuh diatur setiap gerakan dengan kisahnya tersendiri.

Langkah disusun bukan sembarangan, sebaliknya ada kisah ingin disampaikan menjadikan tarian ketopeng ini cukup unik dan indah.

Penari Ketopeng lazimnya berpakaian dipenuhi bulu menyerupai makhluk halus dan diiringi penari wanita cantik dengan paluan muzik buluh masyarakat Bidayuh.

Gerak tarinya kadang kala melucukan kadang kala menakutkan, namun ia menggambarkan kebudayaan silam yang semakin dilupai.

Untuk menghidupkan kembali seni tari yang unik ini, kumpulan Ngiruncong dari Mongkos, di sini, tidak pernah jemu mempromosikan tarian itu dalam pelbagai majlis keramaian dan sambutan budaya masyarakat di daerah ini.

Ketua kumpulan tarian itu, Awan Aneng, 61, berkata, tarian ketopeng semakin dilupakan kerana ia dianggap adat lama yang bertentangan dengan kepercayaan agama.

“Sebab itu, kami mengambil inisiatif menghidupkan tarian sebagai memperingati kepercayaan tradisi masyarakat Bidayuh Mongkos.

“Bagaimanapun, kini tarian ketopeng sekadar persembahan kebudayaan dan tradisi semata-mata,” katanya.

Bagi masyarakat Bidayuh dari Mongkos, Serian ini, ketopeng merujuk kepada pakaian berbentuk makhluk halus berbulu sambil memakai topeng yang sering diselitkan dengan penari tarian tradisi masyarakat itu.

Mengikut kepercayaan dahulu, tradisi pemakaian ketopeng dan tarian ini untuk membawa hantu dan makhluk halus mengelilingi penari.

Biasanya, ia dilakukan pada musim menanam padi dan sambutan Gawai atau musim menuai padi.

Terdapat dua hingga empat penari dan mereka dipercayai membawa hantu dan makhluk halus di sekitar sawah padi dan kampung untuk menyertai tarian itu.

Awan berkata, ketika ini, orang ramai lebih mengenali masyarakat Bidayuh dengan tarian rejang baeh dan langgi julang, sebaliknya ramai tidak tahu mengenai tarian Ketopeng.

“Mungkin kerana cara pemakaiannya yang pelik, sebab itu ia kurang popular. Bagaimanapun, pengalaman saya ketika menghadiri keramaian dengan persembahan tarian ini, adakalanya penari diarak dikerumuni orang ramai.

“Ia menunjukkan ketika ini penerimaan masyarakat berubah dan tidak lagi terikat kepercayaan lama.

“Saya berharap generasi muda Bidayuh dapat mengenali semula tradisi ketopeng ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2016 @ 5:22am
d