mutakhir

Sambutan luar biasa

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Tomei Gold & Jewellery, syarikat barangan kemas merancang mengadakan Peraduan Glam Raya bersama Tomei dan Harian Metro pada tahun depan berikutan sambutan memberangsangkan bagi siri keduanya pada tahun ini.

Pengurus Kanan Jenamanya, Christine Lim Foong Chan berkata, pada tahun ini ia diadakan pada 13 Jun hingga 17 Julai itu, pihaknya menerima kira-kira 500 penyertaan berbanding 80 penyertaan pada tahun lalu.

Beliau berkata, sambutan diterima juga adalah pemangkin kepada pihaknya untuk meneruskan peraduan itu yang hanya memerlukan beberapa langkah mudah sebelum menghantarnya melalui laman sosial Facebook Tomei.

“Kami hanya menjalankan promosi peraduan ini melalui laman sosial Facebook Tomei dan tidak menyangka ia mendapat sambutan luar biasa sekali dan begitu gembira dengan maklum balas yang diberikan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di sini, semalam.

Peraduan bergambar itu dianjurkan menerusi konsep penyertaan gambar paling popular dan glamor dalam susasana kemeriahan musim perayaan Aidilfitri.

Pada majlis berkenaan pemenang tempat pertama, Syarida Nordin dari Pulau Pinang membawa pulang set 18 karat berlian separa permata bernilai RM5,000 manakala Akmal Kadir mendapat loket 18 karat berlian separa permata bernilai RM3,000 (kedua) dan tempat ketiga dimenangi Zue Razak yang membawa pulang loket 18 karat berlian separa permata RM1,000.

Syarida, 33, berkata, beliau tidak menyangka terpilih sebagai pemenang utama kerana pada mulanya hanya menganggap hanya menyertainya tanpa mengharapkan apa-apa.

Disiarkan pada: October 22, 2016 @ 5:29am
d