mutakhir

'Terharu Nasi Lemak Anak Dara masuk pembentangan Bajet 2017'

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: “Saya terharu kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebut Nasi Lemak Anak Dara ketika pembentangan bajet tadi (semalam),” kata Siti Hajjar Ahmad, 24.

Kisah Siti Hajjar sebelum ini menjadi viral selepas perniagaan nasi lemaknya itu dikenakan kompaun RM2,000 oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu, ucapan Perdana Menteri itu turut menaikkan semangatnya untuk terus berniaga khususnya menjual Nasi Lemak Anak Dara.

“Saya pun terkejut kerana nama saya disebut pemimpin nombor satu negara dan ucapan itu sebenarnya satu suntikan semangat dan motivasi untuk saya meneruskan perniagaan ini.

“Saya berharap graduan di luar sana menggunakan masa yang terluang untuk menjalankan apa-apa perniagaan kerana bidang ini luas,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ketika pembentangan Bajet 2017 itu, Najib menjadikan kisah Siti Hajjar sebagai contoh kepada golongan muda menjadi usahawan.

“Kita perlu galakkan usahawan muda untuk terus berniaga,” kata Perdana Menteri yang merujuk kepada Nasi Lemak Anak Dara yang diusahakan gadis dari Sungai Petani, Kedah itu.

Siti Hajjar berkata, ketika ini dia mahu memberi tumpuan kepada perniagaan nasi lemak itu dan pada masa sama menambah ilmu pengetahuandalam bidang perniagaan.

Disiarkan pada: October 22, 2016 @ 5:50am
d