mutakhir

RM4.6b lahir tenaga mahir

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM4.6 bilion kepada institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dilihat mampu membantu kerajaan dalam melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang berkemahiran tinggi untuk keperluan industri.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, inisiatif kerajaan itu jelas membuktikan bidang berkenaan dapat memberi sumbangan besar kepada negara pada masa hadapan.

“Untuk melahirkan tenaga kerja mahir memang memerlukan peruntukan tinggi serta kemudahan infrastruktur yang lengkap.

“Jika dibandingkan beberapa tahun dulu, kerajaan kini sudah mula menumpukan perhatian kepada penghasilan tenaga kerja mahir yang sememangnya diperlukan pelabur pelbagai industri di negara ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zakaria yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, inisiatif kerajaan yang mengubah suai sembilan kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) menjadi Politeknik dan Kolej Vokasional juga adalah satu langkah bijak.

“Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri dilihat lebih menyeluruh dan inklusif untuk semua keperluan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Zakaria turut mengalu-alukan keputusan kerajaan dalam memberikan potongan cukai sebanyak dua kali kepada perbelanjaan syarikat swasta yang menyediakan Program Pelatih Berstruktur (Structured Internship Programme).

Katanya, insentif itu juga wajar dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun mulai tahun taksiran 2017 hingga tahun taksiran 2019.

Disiarkan pada: October 22, 2016 @ 5:57am
d