mutakhir

Segera laksana

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Bajet 2017 akan dilaksanakan segera oleh penjawat awam supaya rakyat dapat terus menikmati dan memperoleh faedah seperti yang diumumkan kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, di sebalik beberapa insiden yang membabitkan penyelewengan oleh segelintir penjawat awam, majoriti penjawat awam masih mendukung prinsip perkhidmatan awam untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat secara berintegriti.

“Sektor perkhidmatan awam Malaysia akan terus mengorak langkah bersama dengan kerajaan bagi merealisasikan aspirasi mewujudkan keseimbangan pertumbuhan ekonomi negara dan memastikan jaminan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ali berkata, beliau bagi pihak penjawat awam merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan di atas keputusan pemberian insentif serta penambahbaikan skim perkhidmatan awam.

“Penghargaan juga dirakamkan kepada kerajaan di atas keputusan pemberian Imbuhan Tahunan/Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 bagi penjawat awam dan RM250 bagi pesara yang akan dibayar pada Januari 2017,” katanya.

Menurutnya, pelantikan secara kontrak pegawai perubatan, pergigian dan farmasi warganegara Malaysia di Kementerian Kesihatan selewat-lewatnya Disember ini bagi menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib adalah langkah baik untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi graduan bidang terbabit menjalani latihan atau khidmat berkenaan.

Menurutnya, mereka juga akan mendapat penempatan lebih awal selepas berjaya menjalani latihan seperti yang ditetapkan.

“Pengenalan lapisan gred baru 56 di antara gred 54 dan JUSA C bagi pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian pakar adalah langkah positif ke arah menambah baik kemajuan kerjaya golongan penjawat awam ini.

“Sementara langkah proaktif kerajaan mengenal pasti lot tanah kerajaan untuk membina 30,000 rumah mampu milik oleh syarikat berkaitan kerajaan menepati Ekonomi Keperluan Rakyat.

“Malah, usaha menyiapkan 30,000 unit Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia akan mengukuh dan merancakkan lagi program perumahan mampu milik sedia ada oleh kerajaan,”katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2016 @ 6:01am
d