mutakhir

Coli nyah kalut

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: “Apa salah saya, mana ada saya bawa perempuan dalam bilik ni, itu coli saya. Kenapa serbu bilik saya, (sebab) saya tak buat apa-apa, saya baru keluar penjara.”

Begitu jerit seorang lelaki berlagak wanita kepada sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang melakukan pemeriksaan di bilik sewa lelaki berkenaan dalam operasi bersepadu di Jalan Tun Ali, di sini, jam 10 pagi semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu antara enam individu iaitu dua lelaki dan empat wanita ditahan atas kesalahan bersekediaman, disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran dan lelaki berlagak wanita.

Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berkenaan sedang berehat di dalam bilik namun dia bertindak agresif dengan memarahi anggota penguat kuasa yang didakwa mengganggunya.

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu beberapa kali ditahan JAIM dalam pemeriksaan sebelum ini kerana berlagak seperti wanita.

Manakala semakan dilakukan anggota penguat kuasa JAIM turut mendapati lelaki itu mempunyai waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan, tahun lalu.

Ketua Penguat Kuasa JAIM Rahimin Bani berkata, lelaki itu sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berlagak seperti wanita.

Menurutnya, pihaknya menahan lelaki terbabit untuk siasatan termasuk berhubung waran tangkap kerana ingkar perintah hadir ke mahkamah.

“Dalam pemeriksaan sama, kami turut menahan lelaki warga tempatan dan wanita berasal daripada Indonesia dipercayai pasangan kekasih yang bersekediaman apabila mereka dikesan tinggal di dalam bilik sama.

“Sementara itu, pemeriksaan di dua lagi bilik membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan dan dua warga Thailand berusia 30-an hingga 50-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 dan Seksyen 75 enakmen sama kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran,” katanya.

Katanya, seramai 27 pegawai JAIM dan MBMB terbabit dalam operasi bersepadu itu bertujuan membanteras aktiviti pelacuran dan maksiat sekitar daerah ini.

Tinjauan Harian Metro turut menemui kondom, jeli pelincir dan tisu gulung besar dipercayai digunakan dalam aktiviti pelacuran menyebabkan kawasan persekitaran penginapan itu juga kotor.

Disiarkan pada: October 22, 2016 @ 6:13am
d