mutakhir

Peguam, rakan didakwa edar dadah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang peguam dan rakan wanitanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dua pertuduhan mengedar dadah, minggu lalu.

Tertuduh, G Sivakumar, 50, dan P Sivagami, 38, yang bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta kelihatan tenang sepanjang prosiding berjalan.

Mereka yang memakai baju lokap jingga mengangguk faham selepas kertas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 95.5 gram dan kanabis seberat 1,000 gram di tempat letak kereta hadapan sebuah rumah di Taman Desa Seringin, Nilai, dekat sini, kira-kira jam 8 malam, 14 Oktober lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Disiarkan pada: October 22, 2016 @ 6:26am
d