mutakhir

Sedia hadapi detik cemas

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Cameron Highlands: Latihan kecemasan limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama beberapa agensi di Lembah Bertam, di sini baru-baru ini mencapai objektifnya terutama dalam persediaan menghadapi situasi kecemasan.

Sistem kecemasan di kawasan yang pernah dilanda bencana banjir lumpur pada 2013 hingga mengakibatkan kehilangan empat nyawa itu diuji keberkesanannya agar insiden sama tidak berulang lagi di Cameron Highlands.

Agensi yang mengambil bahagian termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang membabitkan 12 pegawai dan 128 anggota selain penyertaan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemimpin setempat.

Suasana kecemasan yang digambarkan dalam latihan berkenaan adalah situasi peningkatan paras air di Empangan Sultan Abu Bakar sehingga menyebabkan TNB terpaksa melepaskan air dari empangan berkenaan susulan hujan lebat berterusan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid yang juga Komander Operasi berkata, latihan itu mencapai matlamat dengan setiap agensi terutama TNB melaksanakan peranan masing-masing.

Beliau berkata, kesiapsiagaan semua agensi adalah baik dan dalam kawalan, namun masalah utama yang dapat dikesan melalui latihan yang dijalankan adalah isu sama seperti latihan-latihan lain sebelum ini iaitu tiada kerjasama daripada penduduk yang bersikap sambil lewa ketika stimulasi diadakan.

“Selain meningkatkan kesediaan semua agensi serta pihak berkuasa berkaitan mengenai usaha menangani kecemasan terutama ketika air empangan terpaksa dilepaskan, matlamat utama latihan ialah memberi pendedahan kepada kira-kira 3,000 penduduk Lembah Bertam dan penempatan di hilir empangan untuk hadapi situasi kecemasan.

“Ada penduduk di Lembah Bertam dan berhampiran Sungai Bertam masih menganggap latihan tidak penting kerana tiada ancaman tapi mereka lupa kerjasama menyeluruh penting untuk mengatasi sebarang kelemahan bagi menghadapi bencana sebenar,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu sedar inisiatif mengadakan latihan berkenaan adalah penting terutama bagi mengenalpasti tindak balas penduduk untuk menyelamatkan diri ke lokasi selamat dalam tempoh waktu kritikal yang ditetapkan jika kejadian sebenar berlaku.

“Polis dengan kerjasama TNB serta agensi lain akan mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua masyarakat bagi menyedarkan penduduk mengenai latihan ini,” katanya.

Katanya, dalam stimulasi yang dijalankan baru-baru ini, hanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley, yang memberi kerjasama dengan 236 murid bersama 22 guru dan enam kakitangan berkumpul di kawasan selamat mengikut prosedur ditetapkan.

Sementara itu, Guru Besar SJK (C) Bertam Valley, Seng Wai Cheng berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keselamatan murid, latihan kecemasan itu perlu dilaksanakan untuk memperbaiki sebarang kelemahan serta persediaan menghadapi situasi sebenar.

“Sistem penyebaran maklumat melalui kumpulan WhatsApp kepada semua agensi termasuk sekolah adalah antara langkah yang baik namun ada perkara perlu diperbaiki termasuk bantuan pihak berkuasa untuk mengiringi murid ke lokasi selamat,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2016 @ 5:25am
d