mutakhir

Wanita terseksa tuntut nafkah

Oleh Rokaid Chik

Pasir Puteh: Wanita adalah golongan paling ramai yang sengsara dan menjadi mangsa dalam proses tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah.

Ketua Hakim Syarie Tan Sri Ibrahim Lembut berkata, kajian dibuat juga menunjukkan wanita tidak hanya berurusan di mahkamah untuk keadilan bagi diri sendiri, bahkan untuk anak mereka juga.

Berikutan itu, beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM) berkata, golongan itu perlu dibantu dan diberi maklumat tepat dalam menyelesaikan sebarang tuntutan dibawa.

“Pada saat kita mementingkan agenda sosial dan pembangunan keluarga yang kukuh sebagai teras pembangunan negara seimbang, kehidupan yang tidak mengamalkan konsep keadilan serta muafakat boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

“Untuk itu, informasi mengenai perundangan syariah dan peranan Mahkamah Syariah perlu didedahkan kepada semua supaya masing-masing tahu peranan serta hak terutama wanita.

“JKSM selaku agensi persekutuan akan terus berperanan menyalurkan informasi ini,” katanya dalam Program Jelajah Mesra Informasi JKSM 2016 di Kompleks UMNO Uthmaniyah, Pulau Lima, di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Bahagian Sokongan Keluarga diwujudkan pada 2010 khusus untuk membantu golongan wanita terutama isteri yang membuat tuntutan nafkah di mahkamah.

“Sebelum ini banyak berlaku tunggakan kes penguatkuasaan perintah nafkah namun dengan adanya bahagian khas ini, kes berkenaan didapati semakin berkurangan,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2016 @ 5:34am
d