mutakhir

Derma 1,600 topi keledar

Oleh Asmah Rusman

Kajang: Demi memastikan nyawa kanak-kanak terutama murid sekolah terjamin, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif mendermakan 1,600 topi keledar keselamatan percuma.

Usaha dibantu Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat swasta itu adalah antara program pendidikan kepada ‘Safe Kids Malaysia’ kepada pelajar sekolah rendah di Selangor.

Program dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu akan diperluaskan di 23 sekolah terpilih di negeri ini yang mencatat statistik kemalangan jalan raya dan kematian tertinggi di Malaysia.

Pengarah Eksekutifnya merangkap ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani berkata, kajian dilakukan pihaknya mendapati 63 peratus penunggang dan pembonceng motosikal maut berpunca daripada kecederaan di bahagian kepala.

“Manakala sebanyak 28 peratus pula meninggal dunia disebabkan kecederaan pada anggota badan yang lain termasuk juga kepala. Oleh itu peratusan kematian berpunca daripada kecederaan kepala menyumbang antara 60 hingga 85 peratus.

“Mengambil kira faktor ini, kami merasakan kesedaran berhubung pemakaian topi keledar perlu diberi penekanan dengan memperkenalkan program ini di peringkat sekolah rendah. Kanak-kanak adalah pembonceng motosikal yang berulang alik ke sekolah bersama keluarga,” katanya.

Katanya, melalui program itu, pelajar dan ibu bapa turut diberikan penerangan keselamatan motosikal dan pemandu selamat yang mampu mengurangkan risiko kematian.

“Dalam kajian kami, tiga peratus pelajar tidak memakai topi keledar dengan betul, 24 peratus memakai topi keledar mainan atau plastik dan 37 peratus lagi memakai topi keledar dewasa,” katanya.

Katanya, pihaknya mensasarkan penggunaan topi keledar keselamatan kanak-kanak itu mampu dilaksanakan di seluruh negara menjelang tahun 2020 selaras dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi pengurangan sebanyak 50 peratus kematian di jalan raya.

Dalam majlis pelancaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang semalam, Kulanthayan menyerahkan topi keledar percuma kepada 67 pelajar sekolah terbabit.

Turut hadir memberi taklimat dan demonstrasi keselamatan motosikal Pengarah JKJR Selangor Mohammad Fakhri Mansor.

Disiarkan pada: October 24, 2016 @ 8:20am
d