mutakhir

Tingkat mobiliti awam setanding negara maju

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Peruntukan khusus untuk penambahbaikan beberapa jenis pengangkutan awam darat dalam Bajet 2017 membuktikan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat dan komited untuk menyediakan kemudahan setanding negara maju.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pihaknya mengalu-alukan peruntukan bagi peningkatan pengangkutan awam darat dalam pembentangan Bajet 2017 Jumaat lalu.

“SPAD yakin bahawa peruntukan di bawah Bajet 2017 bagi pengangkutan awam darat penting dalam usaha suruhanjaya untuk mencapai sasaran perkongsian mod 40 peratus di kawasan dalam bandar pada 2030,” katanya.

Menurutnya, demi meningkatkan mobiliti dan mengurangkan kesesakan di kawasan Greater Kuala Lumpur atau Lembah Klang (GKL/KV) yang kian mengalami urbanisasi, kerajaan komited dalam merealisasikan projek berwawasan seperti penyambungan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang termasuk projek Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh - Kajang yang bakal beroperasi.

Katanya, di luar Lembah Klang pula, RM100 juta diperuntukkan bagi pemulihan laluan Pantai Timur yang musnah akibat banjir pada 2014 dan ia akan memulihkan kesalinghubungan bagi kawasan luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatan rel.

Beliau berkata, pengenalan 19 set tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) baharu yang akan beroperasi bagi laluan Johor Bahru - Padang Besar akan mempertingkatkan frekuensi perkhidmatan serta kapasiti bagi memenuhi permintaan untuk perkhidmatan ini yang kian berkembang pesat.

“Sehubungan itu, SPAD mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan akan meneruskan projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL) dengan peruntukan RM55 bilion.

“Projek ECRL ini yang merangkumi jarak 600 kilometer akan menghubungkan kawasan GKL/KV dengan bandar di Pantai Timur termasuk Bentong, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Tumpat.

“Seiring dengan itu, projek ini juga akan membolehkan pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran serta membawa faedah dan perubahan kepada rakyat,” katanya.

Mohd Azharuddin berkata, kelulusan peruntukan RM60 juta akan membantu penerima permit teksi individu berkelayakan yang keluar daripada sistem pajak untuk membeli kenderaan baharu dengan penerimaan geran RM5,000.

“Ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk membangunkan taraf industri ini di bawah Program Transformasi Industri Teksi. Tambahan pula, kerajaan mengumumkan pengenalan jaringan keselamatan melalui skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pemandu teksi yang layak,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2016 @ 8:27am
d