mutakhir

Pastikan sampai sasaran

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Majoriti pengusaha dan pemandu teksi sekitar Lembah Klang mahu penambahbaikan dibuat berhubung peruntukan RM60 juta yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017, Jumaat lalu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Kuala Lumpur-Selangor, Zailani Isa Usuluddin berkata, pihaknya menyambut baik setiap pemberian yang diumumkan kerajaan untuk mensejahterakan rakyat, terutama pemandu teksi.

“Bagaimanapun, satu perincian yang jelas perlu dibentangkan bersama bagi memastikan peruntukan RM60 juta itu benar-benar sampai kepada kelompok sasaran,” katanya.

Menurut beliau, perincian berhubung peruntukan itu perlu memandangkan transformasi Teksi 1Malaysia (TEKS1M) yang diperkenal kerajaan sebelum ini gagal menemukan titik penyelesaian kepada masalah pemandu teksi di negara ini.

“Ketika Perdana Menteri mengilhamkan program transformasi TEKS1M pada 2013, kami berasa lega kerana diberi harapan untuk terus memajukan perkhidmatan.

“Lebih 12,000 pemandu sanggup berebut mendapatkan 1,000 permit individu baru yang diumumkan Perdana Menteri.

“Namun belum pun sampai lima tahun transformasi dilaksanakan, pemandu TEKS1M berdepan masa sukar, tambahan dengan adanya Uber dan GrabCar,” katanya.

Jelas Zailani, majoriti pemandu teksi bertambah kecewa apabila Perdana Menteri menggalakkan kelompok B40 menceburi Uber menerusi Bajet 2017.

“Kita sudah menggunakan pelbagai saluran untuk memberitahu kepada kerajaan bahawa Uber tidak sepatutnya dibenarkan, malah perlu diambil tindakan kerana melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Pemandu Uber sepatutnya ditahan, kereta mereka wajar disita dan aplikasi boleh diharamkan, tetapi masih tiada sebarang tindakan sehingga hari ini.

“Justeru, seandainya perancangan dulu masih gagal dilaksanakan dan isu Uber tidak diselesaikan, maka tiada gunanya geran RM5,000 atau Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pemandu teksi,” katanya.

Hal sama turut diakui Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor (PERPEKLI), Datuk Aslah Abdullah.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap Uber dan membantu memajukan industri teksi menerusi penjenamaan semula perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita bimbang peruntukan yang diumumkan kali ini langsung tidak memberi kesan kepada pemandu teksi, malah mungkin memburukkan lagi industri,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2016 @ 8:31am
d