mutakhir

Perkasa wanita

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Bangi: Lima peruntukan langsung kepada kaum wanita dalam Bajet 2017 membuktikan kerajaan komited untuk memudahkan mereka bekerja serta menjaga kesihatan.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Madeline Berma berkata, peruntukan pengecualian cukai untuk pembelian peralatan penyusuan ibu yang julung kali diperkenalkan bagi wanita bekerja dan mempunyai anak amat dialu-alukan.

Malah, katanya, ibu tunggal juga dapat memanfaatkan peruntukan untuk program i-Kit.

“Peruntukan untuk pembangunan keusahawanan khusus untuk tujuan permulaan, Dana Skim Jaminan Modal Kerja amat bermakna kepada wanita kerana ramai yang terbabit dalam perusahaan mikro dan kecil.

“Program pembiayaan kredit mikro oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) khususnya skim baharu Temanita membolehkan lebih ramai wanita menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya dalam sidang media Analisa Bajet 2017 di UKM, di sini, semalam.

Menurutnya, peruntukan pembangunan ekonomi digital juga boleh dimanfaatkan wanita kerana ia membolehkan mereka membabitkan diri dalam perniagaan atas talian.

Katanya, dengan cara itu, mereka boleh berniaga dari rumah di samping menjaga anak dan orang tua.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pertumbuhan ekonomi yang konsisten setiap tahun, mengurangkan kadar kemiskinan dan menambah pendapatan perkapita tahunan membuktikan kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak muflis.

Beliau berkata, tiga faktor itu digunapakai di dunia sekali gus menolak tanggapan segelintir pihak bahawa negara akan bankrap.

Disiarkan pada: October 25, 2016 @ 9:07am
d