mutakhir

Galas empat tugas serentak

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: “Empat tahun saya menjalankan empat tugas serentak iaitu sebagai guru, pelajar, isteri dan juga ibu. Namun saya akhirnya menamatkan pengajian sekali gus menggenggam ijazah,” kata Khairizan Sabtu, 50.

Ibu kepada dua anak itu apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-85, di sini, semalam.

Khairizan yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Kuala Selangor berkata, kekangan masa antara cabaran yang perlu dihadapinya dalam tempoh empat tahun menamatkan pengajiannya itu.

“Ada ketika saya terkejar-kejar hingga tidak sempat memasak untuk keluarga. Mujur suami, anak serta ibu bapa memberi dorongan,” katanya yang juga isteri kepada Pengarang Berita, Berita Harian Wan Jailani Razak.

Khairizan berkata, dia nekad menyambung pelajaran selain menyahut seruan Kementerian Pendidikan walaupun sudah berkhidmat sebagai guru sejak 23 tahun lalu.

“Bukan mudah menyambung pelajaran apatah dalam usia sebegini, namun saya kuatkan semangat dan sokongan keluarga banyak membantu,” katanya yang ditemani suami, dua anak lelaki Wan Amirul Amsyar, 23, dan Wan Amirul Aizzat, 18, serta ibu bapanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sekolah Rendah, Siti Marianizam Mohd Zanin, 39, melahirkan rasa lega apabila berjaya menamatkan pengajian.

Marianizam yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam, turut mengakui terpaksa berkorban masa sepanjang tempoh empat tahun pengajian.

Katanya, dia juga pernah berhadapan masalah tidak sempat menyiapkan tugasan diberikan, namun bantuan suami Hermi Zakaria, 37, rakan kelas serta rakan guru lain banyak membantu.

“Pengalaman itu tidak mematahkan semangat saya untuk menghabiskan pengajian sehingga selesai dan berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa depan,” katanya.

Dalam konvokesyen yang bermula dari 22 hingga 23 November ini seramai 25,720 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing.

Daripada jumlah berkenaan, 13,100 graduan menerima diploma, Ijazah Sarjana Muda (11,097), Diploma Lepasan Ijazah (57), Ijazah Profesional (153), Ijazah Sarjana (1,243) dan Ijazah Doktor Falsafah atau PhD (70).

Pada konvokesyen semalam, 966 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing.

Disiarkan pada: October 25, 2016 @ 9:12am
d