mutakhir

Bantah pembalakan di Hutan Sungai Gapoi

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Bentong: Kira-kira 100 penduduk di lima kampung di Pelangai, di sini, membantah permohonan kegiatan pembalakan di Hutan Sungai Gapoi yang didakwa akan menjejaskan sumber tadahan air yang bergantung sepenuhnya dari sungai berkenaan.

Dalam bantahan itu, penduduk meluahkan kebimbangan jika permohonan berkenaan diluluskan dan kegiatan akan diteruskan, sekali gus menyebabkan kawasan tadahan serta sungai berhampiran menjadi surut dan lebih kering.

Melalui bantahan itu, penduduk tidak ketinggalan meluahkan kekesalan atas tindakan kerajaan negeri yang didakwa memberikan kelulusan kepada pihak berkenaan untuk menjalankan kegiatan pembalakan dipercayai akan dijadikan hutan ladang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Ulu Semie, Hihang Atong, 52, berkata kegiatan pembalakan yang akan dijalankan itu tidak mengikut prosedur berikutan ketiadaan sebarang papan tanda dipamerkan.

“Kami melihat laluan ke Hutan Sungai Gapoi sudah dibuat namun tidak melihat sebarang papan tanda dinaikkan.

“Tanpa mempamerkan papan tanda, kami menyifatkan ia satu kegiatan pembalakan haram,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, jika permohonan itu diluluskan, Orang Asli akan kehilangan sumber pendapatan daripada hasil hutan akibat kemusnahan kawasan berkenaan.

Penduduk Kampung Mancis, Lee Ah Kow, 70, berkata, jika permohonan kegiatan pembalakan itu diluluskan ia akan memudaratkan kesihatan generasi akan datang.

“Kawasan sungai berhampiran akan tercemar kerana pokok sudah ditebang, maka kesannya anak cucu kehilangan sumber air minuman bersih.

“Oleh itu, saya berharap jika kerajaan negeri mahu meluluskan permohonan ini (pembalakan), ia seharusnya bukan berhampiran kawasan tadahan air,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, bantahan dibuat berikutan penduduk tidak gembira kerana bimbang sumber air yang menjadi nadi utama mereka terjejas.

“Justeru, sama ada kegiatan pembalakan itu berlesen atau tidak kerajaan sepatutnya menghentikan kegiatan itu kerana kita sudah kehilangan banyak sumber air akibat pembalakan.

“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri ada meminta supaya kawasan tadahan air dijaga sebaiknya maka kita mohon supaya kerajaan negeri hormat apa yang Perdana Menteri katakan seperti dalam ucapannya ketika pembentangan Bajet 2017 (Jumaat lalu),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pihaknya perlu mendapatkan maklumat lanjut terlebih dulu mengenai perkara itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Disiarkan pada: October 25, 2016 @ 9:38am
d