mutakhir

Hilang dari rumah anak yatim

Oleh myMetro

Subang Jaya: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan hilang dari Rumah Anak Yatim Baitul Nurrawdhah, Bukit Puchong, di sini, sejak Jumaat lalu.

Kanak-kanak dikenali sebagai Ali Alias itu dipercayai melarikan diri dari rumah anak yatim berkenaan sebelum laporan kehilangannya dilakukan pihak pengurusan di Balai Polis Bukit Puchong, di sini, jam 1.51 petang, hari sama.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kanak-kanak itu sebelum ini ditemui pihak polis merayau sendirian di USJ 8, di sini.

Menurutnya, kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ditempatkan di rumah anak yatim untuk jagaan sementara mendapatkan perintah mahkamah.

“Bagaimanapun selepas ditempatkan di rumah anak yatim berkenaan, Ali Alias dilaporkan hilang.

“Tiada butiran jelas berhubung kanak-kanak itu ketika ditemui. Dia mendakwa ayahnya adalah warga Myanmar dan berada dipenjara manakala ibunya sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang menemui kanak-kanak terbabit diminta menyalurkan maklumat atau menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

“Selain itu orang ramai boleh juga berhubung terus dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (Subang Jaya) menerusi talian 037 8627222 atau pegawai terbabit iaitu Ispektor Najah Sunnar 0134889122,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2016 @ 9:52am
d