mutakhir

Malu meminta

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Ini kali pertama saya menerima kunjungan sebegini dan sudah pasti kedatangan Harian Metro untuk membantu saya amat dihargai," kata Wan Norli Wan Ismail, 41, ibu tunggal kepada lima anak.

Wanita itu berkata, dia malu meminta-minta dan mengharapkan belas ihsan orang lain, tetapi terharu apabila ada pihak tampil membantu, sekali gus meringankan beban.

Menurutnya, dia menyara kehidupan keluarganya sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM700 selain mendapat bantuan Baitulmal sebanyak RM200 sebulan.

"Saya turut dibantu anak kedua, Mohammad Firdaus Hizhar, 18, yang bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat automotif, selain bekas suami ada mengirim wang setiap bulan untuk anak-anaknya.

"Tetapi, saya tetap berusaha sendiri membesarkan dan menghantar mereka ke sekolah tanpa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bukan tidak mahu meminta, tetapi tidak tahu kaedah selain tidak berkesempatan untuk pergi ke pejabat JKM," katanya.

Wan Norli berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan rombongan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) sempena penganjuran Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016 di rumah sewanya di Taman Selasih, Lukut, di sini.

Pada kunjungan itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar diiringi Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi Titipan Kasih Othman Mamat menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai.

Wan Norli tinggal di rumah sewa itu bersama empat anaknya iaitu Mohammad Firdaus, 18; Mohammad Zaimi, 16; Mohammad Faizzuddin, 11; dan Mohammad Zaifulhisham Ikram, 5, manakala anak sulungnya Nor Aliah Ain, 21, masih menuntut di sebuah universiti awam di Kedah.

Mohammad Firdaus berkata, selepas tamat peperiksaan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM), dia terus bekerja untuk membantu ibunya membesarkan adik- beradik.

lain kerana kakaknya sedang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

"Saya berhasrat mahu menyambung pengajian selepas kakak habis belajar dan bekerja. Saya juga mahu berjaya dan mendapatkan pekerjaan lebih baik untuk mengubah kehidupan kami sekeluarga," katanya.

Keterangan gambar dalam gambar

Disiarkan pada: October 25, 2016 @ 10:04am
d