mutakhir

Rebat sehingga RM10,000

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan lebih 600 unit kediaman dan komersial dengan harga bermula dari RM450,000 hingga RM3.8 juta pada pameran Koleksi Hartanah PKNS di Kompleks PKNS pada 17 hingga 23 Oktober lalu.

Pengurus Besar PKNS Noraida Mohd Yusof berkata, antara produk rumah yang ditawarkan PKNS adalah Opal Residensi dan Aquavilla di Seksyen 7, Anggun 2 dan Hijauan Enklaf di Setia Alam, Cassia dan Azhara di Antara Gapi dan Dillenia di Bernam Jaya, Puteri Daffina 2 di Kota Puteri, Astana Keriung di Rasa dan Vega Residensi di Selangor Cyber Valley.

“Manakala bagi unit komersial pula adalah i-Zone di Bandar Sultan Suleiman, Gapi Avenue 2,3, dan 4 di Antara Gapi, I-Zone Zurah dan Perdana Avenue Kuang.

“Selain itu, PKNS turut mengadakan Hari Mesra Pelanggan 2016 yang menawarkan rebat RM10,000 bagi pembelian kediaman terpilih sepanjang koleksi hartanah ini berlangsung.

“Manakala rebat sebanyak RM15,000 pula ditawarkan bagi projek komersial sebagai satu cara mengurangkan beban bakal pembeli membabitkan unit kilang dan kedai pejabat,” katanya.

Noraida berkata, program itu yang dianjurkan dua kali setahun mendapat maklum balas positif daripada pembeli hartanah PKNS dan bakal pembeli.

Katanya, PKNS mahu program berkenaan menjadi satu medium penting dalam merapatkan hubungan dengan pelanggan setia PKNS selain menarik pembeli baru.

Katanya, melalui program seperti itu juga PKNS turut menerima pertanyaan dari pengunjung antaranya ingin mengetahui berkaitan projek terbaru, cara mendapatkan pinjaman, bagaimana mahu melakukan pertukaran hak milik selain aduan mengenai kualiti hartanah.

“Sempena Karnival Koleksi Hartanah pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya Photobooth, Mini Zoo, Pesta Bufet Durian mulai jam 10 pagi hingga 6 petang serta cabutan bertuah,” katanya.

PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964 sebagai agensi untuk pembangunan peringkat negeri melalui pembahagian dan pemacuan pertumbuhan sosio ekonomi di Selangor yang bertujuan menggalakkan kestabilan, keharmonian dan keadilan sosial untuk mencapai visi negara.

Sikap optimis itu direalisasikan melalui pembangunan pusat pertumbuhan baru, perumahan, perindustrian, perniagaan dan pelaburan.

Disiarkan pada: October 26, 2016 @ 8:47am
d