mutakhir

Kita kategori sederhana

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Malaysia dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus.

Beliau berkata, tindakan Kerajaan Persekutuan berhutang bagi membiayai defisit negara berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanjaan pembangunan.

“Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun tahun ini adalah RM655.7 bilion atau 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), daripada jumlah itu 95.9 peratus atau RM628.8 bilion adalah domestik sementara 4.1 peratus atau 26.9 bilion adalah pinjaman luar pesisir.

“Pinjaman yang dibuat untuk membiayai perbelanjaan pembangunan adalah perbelanjaan produktif yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dan dapat memanfaatkan rakyat seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan empangan.

“Selain itu secara tidak langsung ia memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi,” kata beliau.

Beliau menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah jaminan yang diberikan oleh kerajaan sehingga Jun 2016 adalah sebanyak RM180.9 bilion atau 14.7 peratus KDNK.

Kata beliau, jaminan berkenaan diberikan terutamanya kepada entiti awam yang melaksanakan projek infrastruktur seperti Prasarana dan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang terbabit dalam pembinaan infrastruktur seperti LRT, MRT dan penyediaan pinjaman pelajaran untuk pendidikan peringkat tinggi.

Beliau berkata, kerajaan terus komited untuk memastikan paras hutang tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK.

Disiarkan pada: October 26, 2016 @ 8:55am
d