mutakhir

Anak penoreh graduan cemerlang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Anak penoreh getah antara graduan cemerlang menerima ijazah pada sidang kelima Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-54, yang berlangsung semalam.

Berasal dari Labis, Johor, Siti Zurianah Ismail, 24, yang terkenal dengan pembabitan dalam aktiviti kepemimpinan dan sukarelawan hingga ke peringkat antarabangsa, turut menerima Anugerah Naib Canselor pada konvokesyen berkenaan.

Siti Zurianah berkata, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan bagi Kewangan Islam yang diterimanya diharap dapat membuka ruang lebih luas dalam bidang sukarelawan bagi membantu golongan memerlukan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dengan latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah, dia berhasrat mahu membantu orang ramai melalui sumbangan tenaga, kemampuan dan kepakaran.

Katanya, minat dalam bidang itu timbul selepas menyaksikan pengorbanan ibunya menjaga adik keduanya berusia 21 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) pertuturan dan dari situ, dia yakin bahawa bantuan boleh dihulur bukan saja dari segi kewangan.

“Saya sentiasa fokus dan menyenaraikan semua aktiviti secara berjadual supaya lebih mudah diurus.

“Hingga kini, saya sudah merentas enam negara ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) selain Eropah dalam menjalankan misi sukarelawan terutama kepada pelarian,” katanya yang pernah menerima Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Siti Zurianah yang hadir bersama bapanya, Ismail Sukimin, 51, dan ibunya, Kahnita Abu, 41, adalah antara 832 daripada 5,941 graduan yang menerima sarjana muda dalam bidang masing-masing, semalam.

Ijazah berkenaan disampaikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Dr M Jegathesan.

Siti Zurianah adalah seorang daripada lima sukarelawan dipilih KPT bagi memberi khidmat kepada 9,000 pelarian di kem pelarian Calais, Perancis selama 20 hari bermula 28 Julai hingga 19 Ogos lalu.

Katanya, antara tugasan mencabar ialah memasak dan menyediakan makanan kepada pelarian selama 18 jam setiap hari dengan bantuan seramai 10 sukarelawan saja.

“Memang penat dan memerlukan kekuatan fizikal serta mental tinggi, malah saya bersyukur masih menikmati kehidupan selesa walaupun berasal dari keluarga serba kekurangan,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2016 @ 9:18am
d