mutakhir

Tahan 66 berlumba haram

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Tangkak: Seramai 66 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk lima remaja perempuan ditahan dalam operasi khas membanteras lumba haram di Jalan Parit Bunga-Kesang Laut, di sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak Asisten Superintendan Yahya Manan berkata, operasi selama empat jam bermula dari jam 6 petang menahan semua individu berusia 13 hingga 25 tahun.

“Sebanyak 54 motosikal disita, manakala sejumlah 56 saman membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri dan tiada lesen memandu dikeluarkan dalam operasi berkenaan.

“Operasi itu diadakan selepas polis menerima banyak aduan daripada penduduk setempat mengenai kegiatan mat rempit di kawasan terbabit,” katanya.

Seramai 70 anggota dari pelbagai agensi penguat kuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) terbabit dalam operasi terbesar di daerah berkenaan, tahun ini.

Katanya, aktiviti lumba haram yang dilakukan samseng jalanan itu mengganggu keselesaan penduduk untuk beribadat dan beristirahat berikutan mereka berlegar-legar sekali gus turut membuat bising bermula waktu senja hingga malam.

“Polis akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa untuk membendung gejala lumba haram daripada berleluasa.

“Ibu bapa juga perlu memberi perhatian terhadap gejala ini dan sentiasa menasihati anak-anak mereka selain tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu kerana ia akan menyusahkan banyak pihak jika berlaku sesuatu perkara tidak diingini,” katanya.

Katanya, orang ramai juga diminta memberikan kerjasama kepada polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti lumba haram di kawasan masing-masing untuk tindakan pencegahan.

Disiarkan pada: October 27, 2016 @ 9:21am
d