mutakhir

Empat kediaman rosak dibadai ribut

Oleh Mohd Shukor Amin

Sungai Besar: Sungai Besar: Empat kediaman termasuk sebuah rumah milik warga emas di Parit 2 Timur, di sini, mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat ribut.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam kelmarin, ada antara bumbung rumah penduduk tercabut sepenuhnya dan dijumpai terdampar di kawasan sawah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kawasan itu Abu Lani Hasbullah berkata, kerosakan turut membabitkan rumah seorang wanita berusia 65 tahun yang tiada di rumah kerana berada di Johor.

“Setakat ini sudah dua kali bumbung rumah wanita itu diterbangkan ribut. Kali pertama berlaku awal tahun ini.

“Bumbung yang diterbangkan itu juga baru dibaik pulih dalam kejadian terdahulu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, tinjauan pihaknya mendapati hanya sebuah rumah rosak teruk manakala tiga lagi hanya mengalami kerosakan kecil.

“Laporan kerosakan rumah penduduk yang terjejas sudah dilaporkan kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh untuk tindakan susulan.

“Difahamkan, pegawai Pejabat Parlimen (Sabak Bernam) akan melawat dan menilai kerosakan rumah itu sekali gus mengeluarkan bantuan segera bagi kerja membaik pulih kerosakan,” katanya.

Sementara itu penduduk, Shahbuddin Samsuri, 47, berkata dia hanya menyedari keadaan rumahnya ketika mahu menghantar anaknya ke sekolah berdekatan.

“Saya melihat bumbung garaj sedikit terangkat pagi tadi (semalam) selepas berada di luar rumah untuk menghantar anak,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2016 @ 9:23am
d