mutakhir

Jaga diri, anak baik-baik

Oleh Rosli Ilham

Kemaman: “Sepanjang minggu ini, dia banyak berpesan supaya saya menjaga dan memberi pendidikan terbaik kepada anak. Tidak terlintas di hati saya bahawa pesanan itu menjadi petunjuk dia pergi buat selama-lamanya,” kata Nik Hasniza Nik Idris, 25, isteri kepada Mohd Marwan Mustafa Afandi, 35, yang maut selepas terhidu gas ketika membersihkan tangki di loji memproses gas di Kerteh, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, suaminya ada menghubunginya sejam sebelum kejadian dan bertanyakan keadaannya yang sedang mengandung tiga bulan serta anak sulung mereka berusia tiga tahun.

Katanya, pada akhir perbualan mereka, suaminya berpesan memintanya agar menjaga diri serta anak dengan baik.

“Arwah bertugas sebagai penyelia dan ditugaskan syarikatnya yang mendapat kontrak membersih tangki melakukan kerja di Kerteh sejak dua minggu lalu. Arwah ada beritahu saya beberapa hari lagi tugasnya selesai.

“Sepanjang tempoh dua minggu lalu, arwah berulang-alik dari rumah kami di Kampung Balok, Kuantan ke Kerteh setiap hari,” katanya ketika ditemui di Hospital Kemaman, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Mohd Marwan yang berasal dari Kampung Sungai Buaya, Dungun maut dipercayai terhidu gas ketika melakukan kerja membersihkan loji.

Dua rakan setugasnya, Mohd Zul Aizat Aziz, 23, dan Mohd Yaacob Badrishah, 24, yang cuba memberi bantuan turut sesak nafas, tetapi berjaya menyelamatkan diri.

Tangki setinggi dan selebar enam meter itu dipercayai digunakan mengisi gas metana. Bagaimanapun, ia dikosongkan sebelum mangsa dan rakannya menjalankan tugas.

Kejadian dipercayai berlaku lima minit selepas Mohd Marwan masuk ke dalam tangki sebelum dia rebah dan pengsan.

Melihat keadaan itu, dua rakannya cuba memberikan bantuan, tetapi gagal kerana mereka turut sesak nafas sebelum bergegas keluar dan meminta pertolongan pekerja lain.

Mangsa dikejarkan ke klinik di loji terbabit untuk menerima rawatan kecemasan. Bagaimanapun, Mohd Marwan disahkan meninggal dunia.

Nik Hasniza berkata, dia menerima panggilan daripada adik iparnya jam 4 petang yang memaklumkan suaminya terbabit dalam kemalangan di loji terbabit.

“Saya bergegas ke Hospital Kemaman dan sebaik tiba didapati dia sudah meninggal dunia.

“Saya reda dengan ujian Allah ini dan akan menjaga kandungan dan anak sulung kami dengan baik. Pesanan itu akan saya pegang untuk mendidik anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, dua rakan mangsa stabil.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Disiarkan pada: October 28, 2016 @ 8:46am
d