mutakhir

'Malulah dengan pemerhati YB'

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Takkan saya nak ‘sekolahkan’ ahli Yang Berhormat, tak perlulah Timbalan Yang Dipertua buat, cukuplah hanya Yang di-Pertua ‘sekolahkan’ Yang Berhormat sekalian,” tegas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau yang berang dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang bertikam lidah dengan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu).

“Ada yang bekas hakim, ada peguam tapi semuanya tidak mengendahkan Peraturan Mesyuarat.

“Kita sepatutnya malu dengan pemerhati-pemerhati di Galeri Awam yang saya lihat tersenyum-senyum melihat kerenah Ahli Parlimen berbahas,” katanya semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 pada Sidang Dewan Rakyat, semalam.

Beliau memberi amaran sekiranya keadaan itu berterusan semua Ahli Parlimen terbabit akan diarahkan keluar.

Kekecohan dan herdik-mengherdik mula berlaku apabila Khalid Samad (PAN-Shah Alam), S Manikavasagam (PKR-Kapar) dan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) bangun untuk meminta penjelasan Che Mohamad yang membuat pelbagai dakwaan dianggap tidak berasas terhadap pembangkang.

Bagaimanapun, penyokong kerajaan itu langsung tidak memberi laluan kepada mana-mana penyokong pembangkang walaupun didesak supaya memberi laluan namun tidak diendahkan.

Disiarkan pada: October 28, 2016 @ 8:48am
d