mutakhir

Apps kesan angin ahmar

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Orang ramai kini boleh mengesan risiko penyakit angin ahmar di peringkat awal dengan hanya memuat turun aplikasi Strok Riskometer yang disediakan dalam Bahasa Melayu.

Aplikasi dihasilkan oleh Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) itu turut memberi pendedahan mengenai simptom awal penyakit berkenaan serta cara untuk mencegahnya.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, seramai 40,000 rakyat di negara ini menghidap angin ahmar setiap tahun.

“Penyakit angin ahmar adalah penyakit ketiga yang menyebabkan kematian dan setiap jam terdapat enam pesakit yang diserang penyakit ini.

“Oleh itu, inisiatif yang dilakukan oleh HCTM memberi faedah kepada orang ramai kerana dengan hanya di hujung jari, mereka boleh mendapatkan maklumat seperti risiko angin ahmar dan nasihat daripada pakar untuk mengurangkan risiko penyakit berkenaan,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Strok Sedunia 2016, di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini, semalam.

Menurutnya, berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu kini, orang ramai disarankan untuk menjaga kesihatan bagi mengurangkan kos perubatan.

“Kos untuk merawat penyakit angin ahmar sangat tinggi sehingga mencecah RM4,000. Oleh itu, mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan (Pakar Neurologi) Prof Dr Norlinah Mohamed Ibrahim berkata, inisiatif yang dilakukan oleh HTCM bukan saja memberi pendedahan mengenai angin ahmar, malah ia dapat mencegah penyakit lain.

“Aplikasi yang turut mengandungi video itu dapat membantu mencegah risiko penyakit jantung dan diabetes kerana terdapat pelbagai tips dan strategi untuk mengawal risiko pelbagai penyakit.

“Sebelum ini, aplikasi Strok Riskometer hanya terdapat dalam Bahasa Inggeris. Hasil kerjasama HCTM dengan Auckland Univerisiti of Technology, New Zealand, HTCM berjaya menghasilkan aplikasi ini dalam versi Bahasa Melayu bagi memudahkan rakyat Malaysia memperoleh maklumat untuk menjaga kesihatan mereka,” katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh memuat turun daripada Google PlayStore atau Apple Store secara percuma dan berbayar.

“Aplikasi ini terdiri daripada dua versi iaitu secara percuma dan versi pro yang dikenakan bayaran 2.99USD (RM12.51).

“Melalui aplikasi ini orang ramai boleh mengira risiko angin ahmar pada jangka masa lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2016 @ 9:15am
d