mutakhir

Penari 3 meter

Oleh Nurul Husna Mahmud

Kuala Lumpur: Penari setinggi tiga meter bersama dua penunggang kuda kayu dipersembahkan kumpulan tarian Kalaimani Kalai Kuzhu dari India antara pembukaan dramatik Festival Antarabangsa Kesenian Orang Asli dan Peribumi (FAKOAP) 2016 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, kelmarin.

Festival berlangsung sehingga hari ini membabitkan penyertaan lebih 300 peserta terdiri 12 kumpulan tempatan turut menyaksikan etnik luar dari Filipina, Indonesia serta India.

Seorang pengunjung ditemui Alias Samsudin, 38, berkata, kali pertama mengunjungi FAKOAP berasa teruja menyaksikan kepelbagaian persembahan etnik.

“Saya kebetulan membawa anak bersiar-siar di tasik kerana cuti Deepavali tertarik datang ke acara ini selepas melihat paparan ‘bunting’ dipasang sekitar taman ini.

“Sebaik masuk dan menyaksikan setiap kumpulan melakukan persembahan saya terus ‘melekat’ kerana ia berbeza dengan mana-mana persembahan kebudayaan pernah saya lihat sebelum ini.

“Saya berharap acara terbabit terus diadakan supaya orang awam dapat mendekati golongan pribumi ini,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli berharap pihaknya dapat mengetengahkan kesenian pribumi tempatan di tahap tertinggi selain memberi peluang awam mengenali budaya unik menerusi festival berkenaan.

“FAKOAP bukan saja mengenai persembahan kebudayaan semata-mata sebaliknya menampilkan kepelbagaian seni yang ada dalam cara hidup masyarakat.

“Dalam festival ini ada pameran, jualan dan aktiviti bersesuaian dalam usaha memperkenalkan keunikan etnik wujud dalam masyarakat ini baik kepada awam mahupun pelancong asing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Tan Sri Dr Ong Hong Peng berkata, acara ini membawa manfaat besar dalam produk pelancongan negara.

“Saya menjangkakan kehadiran 50,000 orang membabitkan tempatan mahupun pelancong asing. Acara ini berlangsung seharian selama tiga hari bermula Jumaat.

“Saya sendiri rasa kagum dan begitu tertarik dengan kepelbagaian tarian yang ada. Sudah tentu ini sesuatu yang baik untuk industri pelancongan negara.

“Mendorong perkembangan positif kita turut mengadakan persembahan sisipan di Suria KLCC, Sogo, Nu Sentral dan Pasar Seni membabitkan kumpulan terpilih,” katanya.

Gimik perasmian menyaksikan Peng bersama tiga atlet paralimpik meletakkan plak khas. Turut hadir membuat persembahan dalam majlis itu ialah artis Zainal Abidin.

Disiarkan pada: October 30, 2016 @ 5:17am
d