mutakhir

Lagi Orang Asli bantah

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Gua Musang: Tidak mahu mengalami nasib sama dengan penduduk Orang Asli di Pos Gob, di sini, lebih 70 masyarakat Orang Asli Pos Bihai membina sekatan bagi menghalang kegiatan pembalakan.

Sekatan mula dibuat sejak semalam dan ia yang keenam selepas Pos Simpor, Balau, Parik, Simpang Petai dan Peralong.

Menurut penduduk, Ahud Duga, 64, sekatan itu dibina selepas dia dan masyarakat Orang Asli yang lain mendapat maklumat kerajaan negeri meluluskan dua kawasan pembalakan yang membabitkan Hutan Simpan Perias.

Katanya, dia tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri yang meluluskan pembalakan di kawasan itu tanpa memikirkan nasib bakal menimpa masyarakat mereka.

“Saya kesal dengan tindakan berkenaan dan mohon Jabatan Perhutanan bertindak segera.

“Jika pembalakan berlaku, kami akan mengalami nasib seperti masyarakat Orang Asli di Kampung Remau, Bayor, Peralang dan beberapa kampung lagi yang dihalau dari tempat tinggal mereka di kawasan hutan berkenaan,” katanya ketika ditemui di kawasan sekatan di Pos Bihai, di sini, semalam.

Seorang lagi wakil penduduk, Mustafa Along, 29, berkata, pihaknya bertegas tidak akan membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan selagi kerajaan negeri tidak turun padang berbincang dengan mereka.

“Saya minta Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan exco kerajaan negeri datang melihat sendiri keadaan yang kami alami.

“Kami hanya minta hutan ini dipelihara dan tidak dimusnahkan seperti hutan lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuat dua laporan polis ekoran ada cubaan memberi rasuah kepada penduduk yang dilakukan wakil pemilik syarikat pembalakan di kawasan itu.

“Mereka memberikan wang RM1,000 untuk dua kampung iaitu di Remau dan Bayor yang tidak diketahui tujuannya.

“Namun, kami melaporkan kepada polis berhubung perkara itu kerana matlamat sekatan ini bukan untuk mendapatkan wang. Kami menolak rasuah dan hanya mahu hutan ini dipelihara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya sentiasa turun padang meninjau permasalahan yang berlaku di kawasan pembalakan terutama di Kelantan dan Pahang.

“Kami berharap kerajaan negeri dan masyarakat Orang Asli dapat duduk semeja dan berbincang kerana selagi tidak ada penyelesian, ia sudah pasti akan merugikan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan lebih 200 Orang Asli membuat sekatan di Pos Simpor lebih sebulan lalu bagi menghalang kegiatan pembalakan di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: October 30, 2016 @ 5:21am
d