mutakhir

Bina tiga lagi benteng baru

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Dengkil: Penutupan loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih selama 11 jam kelmarin terus mengundang kemarahan orang ramai, apalagi kaum India yang menyambut Deepavali semalam.

Hujan lebat di Nilai kelmarin bukan saja meruntuhkan benteng sementara di kawasan tercemar Sungai Buah, tetapi turut menyebabkan loji itu ditutup kembali buat kali keenam sebelum beroperasi semula jam 3.15 pagi semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Shahrum Mohd Sharif memberitahu, pihaknya turun padang melihat kerja membina semula benteng sungai, sekali gus mendengar taklimat Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berhubung kaedah mengatasi pencemaran di kawasan berkenaan.

Katanya, Pengurusan Bencana kini mengambil alih tugas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan menempatkan bahan karbon teraktif sebagai penapis di kawasan benteng terjejas.

“Kami difahamkan Pengurusan Bencana membina tiga lagi benteng baru untuk mengawal jumlah air masuk ke Sungai Semenyih.

“Ini bermakna air dari Sungai Buah melalui bahan karbon teraktif pada setiap takungan untuk merawat pencemaran bau sebelum ia masuk ke Sungai Semenyih.

“Bagaimanapun, kami bimbang penyelesaian ini bersifat sementara dan boleh jadi sia-sia sekiranya arus sungai kembali deras akibat hujan lebat,” katanya.

Menurut Shahrum, keadaan cuaca ketika ini langsung tidak menjamin keberkesanan fungsi benteng mahupun meredakan ketegangan emosi dalam kalangan penduduk terjejas.

“Kami percaya langkah penyelesaian yang diambil Pengurusan Bencana bagus, tetapi belum cukup menampung pelbagai kemungkinan.

“Sekiranya keadaan cuaca baik, mereka mungkin tidak berdepan masalah mengepam keluar air tercemar dari Sungai Buah ke lombong bersebelahan untuk dineutralkan.

“Tapi bagaimana jika hujan lebat dan arus meningkat? Sudah pasti air tercemar masuk juga ke Sungai Semenyih dan menjejaskan kualiti air di stesen pam air mentah (SPAM) Jenderam Hilir.

“Akhirnya nanti, loji rawatan air Sungai Semenyih ditutup buat sekian kali dan menyusahkan orang ramai lagi,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Metro Ahad sejak jam 11 pagi semalam mendapati, kerja membina semula benteng pecah kelmarin giat dijalankan.

Air Sungai Buah juga disekat dengan bahan karbon teraktif, batu serta guni pasir untuk menyerap bau.

Sampel air Sungai Buah dan lombong bersebelahan turut diambil pegawai kualiti alam untuk diuji pada setiap tiga jam.

Lokasi tinjauan diteruskan ke SPAM di Jenderam Hilir bersama ADUN Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz.

Apa yang mengecewakan, Sungai Semenyih sebenarnya turut tercemar dengan aktiviti melombong pasir, 250 meter dari SPAM Jenderam Hilir.

Beberapa ikan mati ditemui berdekatan tebing sungai dipercayai akibat kesan pencemaran di sepanjang sungai berkenaan.

Menurut Johan, ketika ini SPAM Jenderam Hilir bekerja pada tahap maksimum untuk memastikan air sampai ke LRA Sungai Semenyih.

“Kami percaya sudah sampai masanya SPAM dinaik taraf supaya ada sumber simpanan untuk dihantar ke LRA sekiranya berlaku pencemaran sungai.

“Dengan cara itu, bekalan air berterusan dan tidak perlu dicatu kepada pengguna.

“Pokok pangkalnya, kita mahu semua pihak fokus kepada penyelesaian masalah air, bukan tuding-menuding antara satu sama lain,” katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2016 @ 5:22am
d