mutakhir

'Senyuman bermakna'

Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: “Sempena musim perayaan Deepavali ini, kami mengambil kesempatan untuk meraikan golongan gelandangan termasuk kanak-kanak tidak bernasib baik.

“Ia sangat bermakna apabila dapat melihat mereka tersenyum,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Onn Ja’afar (IOJ), Charles Mohan selepas program ‘Jom Diwali’ yang diadakan di Pusat Transit Gelandangan, semalam.

Menurutnya, lebih 300 gelandangan serta 30 kanak-kanak diraikan dalam program anjuran IOJ dengan kerjasama Yayasan Chow Kit (YCK), Hotel Park Royal dan turut disertai sukarelawan iaitu pelajar dari Kolej Queens dan Kolej Segi.

“Kami mahu golongan tidak bernasib baik ini turut sama merasakan suasana perayaan. Ini adalah kerana golongan ini sering merasa terpinggir dan melalui program begini ia mampu menyatukan mereka dengan masyarakat.

“Dalam masa yang sama ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah masyarakat penyayang. Program begini juga bagus untuk sukarelawan yang terdiri daripada golongan pelajar untuk turut sama membantu dan dalam masa sama membentuk budaya prihatin di dalam diri mereka,” katanya.

Menurutnya, IOJ melalui penaungnya, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini memperkenalkan kempen ‘Jom Bekpes’ yang menjadikan program pengedaran 500 peket makanan sebagai acara bulanan.

“Kami akan meneruskan program ini dalam masa akan datang. Kita membantu mereka dengan memberi mereka peluang untuk makan secara percuma dan kami menjadikan mereka sebagai golongan sasar setiap kali musim perayaan.

“Kita tidak boleh abaikan mereka. Melalui program ini, mereka gembira dan bersyukur dan kami berjaya membawa senyuman di wajah mereka.

“Walaupun bukan semua yang hadir berbangsa Hindu tetapi kami tidak meletakkan itu sebagai halangan sebaliknya di Malaysia sesuatu perayaan itu adalah untuk diraikan bersama-sama,” katanya.

Turut hadir Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Hotel Park Royal Warren Fernandez.

Disiarkan pada: October 30, 2016 @ 5:23am
d