mutakhir

Perlindungan kesihatan percuma

Oleh Siraj Mohd Zaini dan Nur Izzati Izzah Nadzi

Shah Alam: Kerajaan Selangor memperkenalkan Skim Peduli Sihat khusus bagi kumpulan isi rumah berpendapatan rendah mendapatkan perlindungan perubatan dan kesihatan menerusi Belanjawan Selangor 2017.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sejumlah RM125 juta diperuntukkan bagi menyediakan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan kepada 250,000 keluarga atau kira-kira satu juta rakyat negeri ini yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Menurutnya, skim terbabit diuruskan Selgate Corporation selaku pentadbir penjagaan kesihatan akan membiayai rawatan kesihatan asas di 1,000 klinik berdaftar di Lembah Klang bagi setiap keluarga yang layak sehingga RM500 setahun.

“Mereka yang dilahirkan atau menetap lebih 10 tahun di Selangor layak menyertai skim ini dan pendaftaran boleh dilakukan di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah, serta klinik berdaftar dengan menyertakan bukti atau pengesahan pendapatan.

“Setiap peserta akan menerima kad kesihatan dan pemegang akaun utama skim ini beserta tanggungannya di bawah umur 21 tahun boleh menerima rawatan doktor di klinik berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut memperuntukkan RM5 juta pada 2017 bagi peningkatan kawalan dan pencegahan denggi dan zika secara holistik berbanding hanya RM1.5 juta pada tahun ini.

“Peruntukan ini akan digunakan untuk menambah aktiviti kawalan dengan menambah penggunaan Pest Controller Operator (PCO) di PBT.

“Penguatkuasaan undang-undang akan dipertingkatkan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyumbang kepada wabak ini. Tanggungjawab ini juga harus dipikul bersama oleh semua pihak termasuk pimpinan masyarakat seperti ADUN, Ahli Majlis dan penduduk setempat bagi memastikan tiada lagi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2016 @ 7:22am
d