mutakhir

Samsudin rebung madu

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Tempoh lama menunggu untuk mendapatkan hasil dan penjagaan cerewet menyebabkan tidak ramai petani berminat menanam pokok buluh bagi mendapatkan rebungnya.

Namun, Samsudin Mansor, 67, tetap berfikiran positif dengan mengusahakan tanaman pokok buluh di atas tanah seluas 1.3 hektar berhampiran rumahnya di Kampung Mentagau, Taman Peruna, Sungai Udang, sejak enam tahun lalu.

Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, rebung dipasarkan popular dengan panggilan rebung madu dalam kalangan pelanggan tetap yang mendapatkan bahan mentah itu untuk dicampur dalam masakan mereka.

Menceritakan pengalamannya, Samsudin berkata, selepas bersara daripada perkhidmatan ATM dia menceburkan diri dalam aktiviti penanaman sayur-sayuran, namun kerap mengalami kegagalan.

Namun, dia tidak mudah berputus asa apabila mencuba tanaman lain sehinggalah beralih kepada pokok buluh dan setakat ini dia sudah menanam lebih 300 rumpun tumbuhan itu di kebunnya.

Katanya, dia tidak kisah menunggu lama bagi mendapatkan hasil kerana kaedah itu lebih selamat berbanding pencari rebung liar yang berhadapan pelbagai risiko termasuk diserang haiwan berbisa seperti ular.

“Rumpun buluh ini saya anggap sebagai pelaburan jangka panjang kerana mempunyai rebung sedia dipasarkan dalam jumlah banyak, malah pelanggan juga tidak putus setiap hari dan pasti ada tempahan diterima.

“Rebung adalah bahan masakan digemari masyarakat di negara ini. Ia dihidangkan dengan pelbagai cara, sebagai ulam dicicah dengan budu, masak kari daging dan paling popular dicampur dalam masak lemak cili api,” katanya.

Katanya, permintaan terhadap rebung madu diusahakan meningkat mendadak setiap kali musim cuti atau perayaan berikutan orang ramai menganjurkan majlis kenduri perkahwinan atau keramaian.

Dia dibantu isteri, Razmi Mat Bakar, 65, bagi membersihkan, mencincang, merebus dan membungkus rebung dari kebun, kemudian dipasarkan pada harga RM4 hingga RM6 satu kilogram (kg).

“Tempahan membabitkan pengusaha restoran sekitar Melaka dan Negeri Sembilan, kerana rebung madu tidak miang seperti rebung buluh betung atau buluh hutan, malah boleh dimakan begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Razmi berkata, pada kebiasaannya dia dan suami menunggu selama empat bulan sebelum menuai rebung sudah matang yang mempunyai rasa isi enak dan lembut.

“Batang buluh turut dijual kepada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu atau syarikat swasta bagi pelbagai kegunaan seperti tiang bendera majlis pada keraian, sambutan hari keluarga, sebagai tiang pokok dan sayur-sayuran.

Disiarkan pada: November 1, 2016 @ 7:40am
d