mutakhir

Nak potong tak lepas

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Tapah: “Saya sedang tidur dan sebaik terjaga, saya lihat beberapa penumpang mengalami kecederaan selepas bas yang kami naiki kemalangan,” kata penumpang bas, Fitri Nor Helmi Mohd Ramlan, 30.

Fitri Nor Helmi bersama isterinya, Nuraini Ridzuan, 30, antara penumpang yang terselamat selepas bas persiaran dinaiki berlanggar dengan lori tangki membawa muatan simen di Kilometer 330, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, pemandu bas Nur Azmi Mohd Nor, 50, cedera di kaki dan tulang rusuk manakala seorang penumpang wanita, Wan Nor Amni Wan Din, 22, parah di kepala dan mereka dikejarkan ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan.

Fitri Nor Helmi yang menaiki bas itu dari Pasir Mas, Kelantan berkata, sebelum kejadian, mereka berhenti rehat di Gerik kira-kira satu jam sebelum meneruskan perjalanan menghala ke Tanjung Malim.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius, namun ada antara penumpang yang mengalami kecederaan di muka dan pecah bibir berikutan kemalangan itu.

“Saya dan isteri mahu pulang ke Tanjung Malim selepas bercuti di rumah bapa di Pasir Mas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati bas persiaran yang membawa 20 penumpang dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke Tanjung Malim dikatakan tidak lepas memotong lori tangki berkenaan lalu berlanggar belakang kanan kenderaan itu.

“Selain pemandu bas dan seorang penumpang wanita yang mengalami kecederaan, beberapa penumpang turut cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan.

“Seorang lagi pemandu bas berusia 45 tahun yang turut berada dalam kenderaan itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 2, 2016 @ 9:31am
d