mutakhir

Pesan ambil kereta

Oleh Hadzlihady Hassan

Butterworth: Seorang lelaki sempat menghubungi isteri dan berpesan mengambil kereta ditinggalkannya sebelum dia terjun dalam sungai di Ampang Jajar, Jalan Bagan Lalang, di sini, jam 8.30 pagi semalam.

Lelaki berusia 53 tahun memandu kereta sendiri dan memberhentikan kenderaan di tepi sungai sebelum dia terjun.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak mangsa yang mengatakan bapanya terjun dalam sungai terbabit.

Menurutnya, panggilan itu diterima pada jam 9.04 pagi dan pasukan anggota bomba tiba di tempat kejadian enam minit kemudian bersama 12 anggota termasuk unit marin bomba.

“Sejurus tiba, kami membuat pemantauan di sekitar kawasan tebing sungai dan pasukan marin bomba turut mencari di sekitar permukaan air.

“Operasi mencari di dasar tidak boleh dilakukan buat sementara waktu berikutan arus sungai terlalu deras,” katanya.

Menurut Mohd Azman, hasil siasatan mendapati mangsa menghubungi isteri dan meminta wanita terbabit mengambil kereta yang ditinggalkan di tepi sungai.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kami dapati kereta terbabit masih berada di kawasan itu. Turut ditemui sepasang selipar milik lelaki berkenaan berhampiran kenderaannya.

“Setakat ini, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2016 @ 9:37am
d