mutakhir

Paras air meningkat

Oleh Nor Shafinaz Sari

Alor Gajah: Operasi pembenihan awan selama 10 hari bermula 24 Oktober lalu sehingga semalam membuahkan hasil apabila bacaan paras air di ketiga-tiga empangan utama negeri ini mencatatkan peningkatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Naim Abu Bakar berkata, paras air di Empangan Durian Tunggal meningkat kepada 41.5 peratus, Empangan Jus (40.1) manakala Empangan Asahan pula (58.9).

Beliau berkata, walaupun menunjukkan perkembangan positif, kerajaan negeri hanya boleh lega selepas bacaan paras air di ketiga-tiga empangan itu meningkat melebihi 50 peratus.

“Kos operasi pembenihan awan ini dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri. Hasilnya berlaku hujan selama lima hari di kawasan tadahan berkenaan. Walaupun sedikit ia tetap membantu meningkatkan bacaan paras air.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Meteorologi akan meneruskan operasi pembenihan di negeri ini dan Negeri Sembilan yang turut mengalami masalah sama. Operasi itu berlangsung selama lima hari bermula esok (hari ini),” katanya selepas meninjau paras air di Empangan Durian Tunggal, di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai perkara sama, beliau berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan supaya menyelaras dan memantau operasi pusat mencuci kenderaan di seluruh negeri ini.

Naim berkata, walaupun bukan menjadi punca utama kepada masalah kekurangan bekalan air, namun operasi pusat cuci kenderaan perlu dilakukan kerana mereka adalah pengguna air paling tinggi di negeri ini.

“Antara langkah dicadangkan adalah menangguhkan seketika pembukaan pusat cuci kenderaan baharu, selain mengehadkan masa perkhidmatan bagi mengawal jumlah penggunaan air.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya bijak menggunakan air, sekali gus mengelakkan daripada catuan bekalan itu dilakukan di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengumumkan kerajaan negeri mungkin melaksanakan proses catuan bekalan air jika paras takungan di ketiga-tiga empangan utama di negeri ini terus merosot.

Namun, cadangan itu ditangguhkan seketika selepas paras air di ketiga-tiga empangan terbabit mula menunjukkan peningkatan berikutan hujan lebat hasil daripada proses pembenihan awan yang dilakukan.

Selain itu, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga diarah menyediakan maklumat yang lengkap untuk rujukan pengguna jika catuan bekalan air dilakukan di negeri ini.

Disiarkan pada: November 3, 2016 @ 9:33am
d