mutakhir

Sayang dugong

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Petaling Jaya: Jabatan Perikanan giat melakukan pelbagai program pemuliharaan dugong bagi memastikan spesies mamalia itu kekal dilindungi dan terpelihara di negara ini

Terbaru, jabatan terbabit bekerjasama dengan Jabatan Taman Laut, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Sarawak Forestry Corporation serta tiga pertubuhan bukan kerajaan, MareCet, ReefCheck dan Marine Research Foundation untuk melaksanakan lima projek penyelidikan berkaitan pemuliharaan mamalia berkenaan serta rumput laut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, keseluruhan lima penyelidikan itu membabitkan kos AS$190,000 (kira-kira RM779,000) dan dibiayai oleh Kemudahan Persekitaran Global (GEF) daripada Dana Pemuliharaan Spesies Mohamed Zayed.

Beliau berkata, projek penyelidikan terbabit diadakan selama tiga tahun bermula September tahun lalu hingga September 2018 membabitkan tiga lokasi iaitu Pulau Sibu, Pulau Tinggi di Johor dan Lawas, Sarawak.

“Objektif utama projek ini bagi mewujudkan Santuari Dugong di Perairan Pulau Sibu dan Pulau Tinggi selain mewujudkan kawasan perlindungan mari di Lawas.

“Projek ini, projek serantau turut dijalankan di tujuh negara lain iaitu Indonesia, Madagascar, Mozambique, Vanuatu, Kepulauan Solomon, Timur Leste dan Sri Lanka,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Turut hadir, Sekretariat Perjanjian Persefahaman (MoU) Pengurusan dan Pemuliharaan Dugong, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga pegawai program, Dr Donna Kwan, pakar alam sekitar PBB, Max Zieren dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam, Jabatan Perikanan Rantau Abang Syed Abdullah Abdul Kadir.

Menurut Ismail lagi, jumlah spesies mamalia itu di negara ini dianggarkan sekitar 100 ekor saja dan ia dilindungi mengikut Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam pindaan 2008).

Kata beliau, spesies terancam itu turut dilindungi mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Semenanjung Malaysia), Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 (Sarawak), Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

“Menerusi kerjasama dan penyelidikan yang diadakan, Jabatan Perikanan diberi tanggungjawab untuk menubuhkan kumpulan kerja teknikal peringkat kebangsaan pemuliharaan dugong selain menambah baik Pelan Tindakan Pengurusan dan Pemuliharaan Dugong di Malaysia (NPOA).

“Kami juga diberi penghormatan menjadi tuan rumah merangkap Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kedua Projek yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin.

“Saya berharap dengan semua inisiatif yang dilakukan, negara bakal menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Pengurusan dan Pemuliharaan Dugong, Program Alam Sekitar PBB tahun depan untuk menyertai negara lain di seluruh dunia dalam usaha pemuliharaan haiwan mamalia ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2016 @ 10:12am
d